Ketika beberapa pemimpin kanan Pas sedang menggerakkan perbincangan mengenai hubungan dengan Umno, dua tokoh kanan parti itu, Timbalan Presiden Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pula dilihat bersama di Osaka, Jepun.
Nik Amar memuat naik gambar bersama Tuan Ibrahim berlatarbelakangkan Osaka Castle sambil berkongsi catatan mengenai sejarah penyatuan Jepun dan bagaimana perbezaan akhirnya boleh menemukan titik pertemuan.
Dalam catatan yang dikongsikan pengguna, Nik Amar menekankan bahawa penyatuan bukan sesuatu yang berlaku serta-merta kerana akan wujud perbezaan pandangan dan persaingan. Namun katanya, titik pertemuan boleh dicari apabila pihak-pihak terbabit bersedia duduk bersama dan melihat kepentingan lebih besar.
Menariknya, mesej dari Osaka itu muncul ketika isu penyatuan dan kemungkinan kerjasama Pas-Umno kembali menjadi perhatian politik tanah air.

(Datuk Nik Amar memuat naik statusnya dari Osaka pada 17 September, bersama Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man).
Di Kedah, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini menerima kunjungan kepimpinan Umno Kedah yang diketuai Datuk Seri Mahdzir Khalid. Sanusi menjelaskan pertemuan itu belum merupakan kerjasama rasmi atau rundingan pembahagian kerusi, sebaliknya bertujuan membina “environment” atau suasana positif sebelum perbincangan lebih lanjut.
Mahdzir pula menyifatkan pertemuan tersebut sebagai positif dan berkata Umno Kedah mendapat bayangan awal bagaimana rundingan antara kedua-dua parti boleh dibawa ke peringkat lebih tinggi sekiranya mereka bergerak bersama menghadapi PRU16.
Di peringkat pusat, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan sebelum ini turut mengesahkan isu penyatuan ummah dan kerjasama politik Pas-Umno merupakan antara perkara utama yang dibincangkan dalam lingkungan Muktamar Pas ke-72.
Tuan Ibrahim sendiri sebelum berangkat ke Jepun sudah menyentuh isu sama. Timbalan Presiden Pas itu berkata penyatuan ummah tidak seharusnya terhad kepada Pas dan Umno sahaja, sebaliknya perlu merangkumi kelompok Melayu-Islam lain yang menerima asas perjuangan bersama.
Justeru, catatan Nik Amar dari Osaka menarik perhatian bukan kerana lokasi Jepun semata-mata, tetapi kerana tema yang dibawanya hampir selari dengan perbahasan politik yang sedang berlaku dalam Pas — bagaimana perbezaan dan persaingan boleh diurus untuk mencari titik pertemuan.
Bezanya, ketika Sanusi dan beberapa pemimpin Pas berdepan proses politik secara langsung dengan Umno, Nik Amar dan Tuan Ibrahim membawa mesej mengenai penyatuan dari Osaka. Sama ada catatan itu mempunyai kaitan dengan perkembangan Pas-Umno atau sekadar renungan daripada sejarah Jepun tidak dinyatakan oleh Nik Amar.
No comments:
Post a Comment