Saya ada menonton satu video seorang makcik yang mempertikaikan keputusan Pengampunan Bersyarat terhadap Datuk Seri Najib Razak yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Sebagai rakyat Malaysia seperti kalian, saya juga ada pandangan sendiri.
Ada perkara yang mungkin saya lihat dari sudut kiri, ada juga yang mungkin saya lihat dari sudut kanan.
Tapi apapun, untuk perkara ini saya pilih untuk simpan pandangan peribadi saya kerana bimbang secara tanpa sedar saya menyentuh hal sensitiviti Institusi Diraja serta keputusan mahkamah.
Maka saya hormati saja segala keputusan yang telah dibuat.
Cuma!
Kalau kita nak bercakap tentang keputusan ini, biarlah berdasarkan fakta yang betul.
Sebab daripada video tersebut, saya nampak ada beberapa perkara yang mungkin makcik ini telah salah faham.
#Pertama
"Najib bukan dibebaskan!"
Ini perkara paling asas yang kena difahami.
Datuk Seri Najib Razak tak dibebaskan daripada sebarang hukuman. Yang berubah hanya cara baki hukuman itu dijalankan.
Daripada menjalani baki hukuman di Penjara Kajang, beliau kini dibenarkan jalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta dan syarat-syarat yang ditetapkan.
Kalau syarat itu dilanggar, pengampunan bersyarat tersebut boleh terbatal dan beliau perlu kembali menjalani baki hukuman di penjara.
"Konsep tahanan di rumah tak bermaksud seseorang boleh menjalani kehidupan seperti orang biasa." kata Datuk Shamsuddin Nawawi, seorang peguam.
Di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995, Menteri mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan mana-mana rumah, bangunan, kepungan atau tempat sebagai suatu penjara bagi menahan seseorang yang berada dalam jagaan sah.
Sebab itu, menurut penjelasan beliau, lokasi tahanan rumah tersebut tak semestinya rumah kediaman Najib sekarang.
Sesebuah bangunan lain yang sesuai juga boleh digunakan dan berfungsi sebagai tempat tahanan.
Beliau turut berpandangan yang tahanan tersebut masih perlu dikawal seperti seorang banduan, termasuk aspek kawalan, pemeriksaan dan peraturan penjara.
Beliau juga menjelaskan bahawa pasangan atau ahli keluarga tak semestinya boleh tinggal bersama banduan di lokasi tahanan itu.
#Kedua
“Jadi, kenapa pula kena bayar sampai RM50 juta untuk bebas?”
RM50 juta itu bukan denda baru yang tiba-tiba diwujudkan kerana Najib diberikan tahanan rumah.
Denda ini datang daripada hukuman dalam kes SRC International yang melibatkan RM42 juta.
Pada 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta.
Sabitan dan hukuman itu kemudiannya dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022.
Kemudian pada 2024, melalui proses pengampunan, hukuman itu telah dikurangkan jadi 6 tahun penjara denda RM50 juta.
Jadi sebenarnya RM50 juta yang diperkatakan hari ini bukan angka baru tapi pengurangan daripada denda asal RM210 juta.
Ingat, syarat ini dibuat melalui keputusan pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong.
#Ketiga
“Kenapa Anwar Ibrahim dulu dibebaskan tanpa ada sebarang bayaran?”
Ini juga kena bezakan.
Pada 2018, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga terima pengampunan penuh oleh Agong ketika itu dan dibebaskan serta segala rekod sabitan kesalahan lampau jadi bersih sepenuhnya dari segi undang-undang.
Tapi berbeza dengan PMX, Datuk Seri Najib hanya dapat pengampunan bersyarat.
Tambahan pula, hukuman dua individu ini juga berbeza.
#Keempat
Sedikit nasihat daripada saya kepada makcik ini.
Tak salah untuk kecewa dan nak menyokong sesiapa atau ada pandangan sendiri.
Cuma kalau kita nak pertikaikan sesuatu keputusan, lebih-lebih lagi yang melibatkan mahkamah dan institusi Diraja, elok kita fahami dulu fakta, hukuman asal dan bentuk pengampunan yang diberikan.

No comments:
Post a Comment