Sehari selepas Exco buat pengumuman, AG tegaskan proklamasi turunkan Tuanku Mukhriz tidak berperlembagaan

 


Kemelut kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan memasuki perkembangan baharu apabila Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan pandangan bahawa Proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah tidak sah.

Kenyataan AGC bertarikh 17 September itu muncul selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Negeri Sembilan mengeluarkan pengumuman berkaitan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim turut mengesahkan keputusan berkenaan dibuat secara sebulat suara oleh barisan Exco.

Menurut AGC, Menteri Besar dan MMK tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.

AGC berpandangan kesahan dan kesan Proklamasi 19 April itu perlu ditentukan melalui proses perlembagaan dan undang-undang yang sah, khususnya berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS).

Lebih penting, AGC memberikan pandangan awal bahawa Proklamasi 19 April tidak sah kerana tidak mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS 1959.

AGC turut menyatakan tiada keterangan bahawa faktor kehilangan kelayakan di bawah Perkara 10(1) terpakai kepada Tuanku Muhriz, selain menyatakan tiada fakta setakat ini yang menunjukkan tatacara dan asas pertimbangan sebelum keputusan dibuat telah dipatuhi.

Persoalan turut timbul mengenai kedudukan beberapa Undang yang menandatangani Proklamasi tersebut. AGC menyatakan terdapat Undang yang dikatakan tidak lagi memegang jawatan secara sah kerana telah diturunkan melalui adat luak masing-masing.

Justeru, AGC berpandangan pengumuman MMK itu tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang kerana MMK tidak mempunyai bidang kuasa di bawah UUTKNS 1959 untuk membuat pengumuman berkenaan. Berdasarkan perkara tersebut, AGC menyifatkan pelaksanaan Proklamasi itu sebagai tindakan yang tidak sah kerana tidak berperlembagaan.

Pendirian itu selari pada beberapa perkara utama dengan kenyataan Dewan Keadilan dan Undang (DKU), yang menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah serta mempertikaikan kesahan tindakan MMK.

Dalam perkembangan berkaitan, AGC memaklumkan pertikaian tersebut sedang melalui prosiding di Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban dan terdapat perintah interlocutory injunction yang masih berkuat kuasa.

AGC justeru menyeru semua pihak menghormati proses mahkamah dan membiarkan isu berkenaan diselesaikan secara teratur melalui saluran perlembagaan dan undang-undang.






No comments: