Kata-kata orang politik yang sedang bercinta ini janganlah terlalu dipercayai. Pada waktu ini, ditungganglah dalil, ayat al-Quran dan kisah sirah. Tidak lama lagi, apabila keadaan sudah tidak menguntungkan politik mereka, dalil lain pula yang akan ditunggang.
Apabila membaca kenyataan TGHH, kelihatan begitu banyak falasi, antaranya:
1. Dalil al-Quran yang bersifat umum digunakan secara khusus untuk menyokong pendirian politik tertentu. Ini merupakan penyelewengan terhadap maksud al-Quran.
2. Maksud politik dan akidah dicampuradukkan sehingga dalil mengenai penentangan terhadap akidah digunakan seolah-olah sama dengan dalil mengenai perbezaan parti politik.
TGHH menggunakan ayat 217 Surah al-Baqarah, sedangkan ayat tersebut membicarakan isu akidah dan usaha memalingkan orang beriman daripada agamanya—bukan isu perbezaan parti politik. Demikian juga penggunaan Surah Ali ‘Imran, ayat 118–120.
Menjadikan ayat-ayat berkaitan ancaman terhadap akidah sebagai dalil untuk menentukan hubungan antara parti-parti politik yang berbeza ialah suatu penyelewengan terhadap konteks dan maksud ayat al-Quran.
3. Maksud al-Quran turut diseleweng apabila Surah al-Baqarah, ayat 29 dan Surah al-Mu’minun, ayat 115 digunakan secara khusus untuk menyokong gagasan ketuanan Melayu.
Sedangkan kedua-dua ayat tersebut sedang menerangkan keagungan dan kekuasaan Allah dalam mencipta langit, bumi serta seluruh kehidupan. Ayat-ayat itu menyatakan dengan jelas bahawa segala-galanya ialah ciptaan dan milik Allah.
Dunia ini, tuannya ialah Allah—bukan Melayu, Cina, India atau apa-apa bangsa dan keturunan. Itu maksud ayat al-Quran.
---
Syihabudin Ahmad
Rujuk kenyataan TGHH: https://www.facebook.com/photo/?fbid=1612527830231285&set=a.413267046824042








No comments:
Post a Comment