‘Berniaga apa macam ini?’ – PM persoal hasrat Felda jual aset di bawah nilai belian

 


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan pengurusan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menyediakan laporan lengkap berhubung cadangan penjualan sebuah hotel milik agensi itu.

Ia susulan dakwaan agensi itu menjual asetnya pada harga jauh lebih rendah berbanding harga pembelian asal.

Memetik Bernama, Anwar enggan menandatangani dokumen kelulusan jualan tersebut selepas mendapati hotel berkenaan mahu dijual pada harga 100 juta pound Britain, sedangkan ia dibeli oleh pengurusan terdahulu pada harga 160 juta pound Britain.

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan cadangan penjualan yang merugikan itu memandangkan warga peneroka Felda masih berdepan pelbagai kesukaran hidup dan memerlukan bantuan kerajaan untuk menambah baik kemudahan asas.

“Felda ini di bawah jagaan saya. Dua bulan lepas, pengurusan Felda datang minta saya tandatangan untuk penjualan hotel ini. 

“Saya kata, nanti sekejap, ini berniaga apa macam ini? Jual harga rendah daripada sewaktu beli. Jadi saya tidak tandatangan. Saya kata, cari balik siapa yang buat kerja itu, buat laporan.

“Orang Felda, peneroka susah. Saya pergi kunjungan, dia (peneroka) kata hendak pendingin hawa, sekolah mahu baiki, pendapatan tak cukup. Tapi ini Felda pula (penjualan merugikan) senang-senang sahaja hilang,” katanya ketika berucap pada Program Semarak Kenegaraan bersama ATM di Kem Terendak hari ini.




No comments: