Mak-mak ‘online’ terhibur respon bersahaja Anwar melayan mesej kanak-kanak minta cuti sekolah

 


Seorang ibu meluahkan rasa teruja selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim membalas hantaran yang dikongsikannya di Threads mengenai mesej lucu anaknya kepada Perdana Menteri.

Menerusi hantaran itu, pengguna Threads fatyn_zamry berkongsi tangkap layar mesej yang dihantar anaknya kepada akaun rasmi Anwar, meminta agar diberikan “cuti sekolah selamanya”.

Bersama perkongsian itu, wanita berkenaan turut memohon maaf sambil menjelaskan mesej tersebut dihantar oleh anaknya yang baru berusia 6 tahun.

“Assalamualaikum, minta maaf sangat-sangat PMX, anak saya main telefon. Dah reti menulis membaca, amboi terus memandai-mandai. Dia baru tabika,” tulisnya.

Hantaran itu kemudiannya mendapat perhatian Anwar yang membalas di ruangan komen Threads dengan nada berseloroh.

“Wassalam. Amboiii selamanya dia minta.

“Semoga jadi anak yang rajin baca buku dan pergi sekolah. Sampai hari cuti nanti pun dia nak pergi sekolah,” balas Perdana Menteri.

Respon balas itu membuatkan si ibu sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Anwar kerana sudi membalas mesej anaknya walaupun sibuk.

“Ya Allah.. PM saya minta maaf sekali lagi jika anak saya nakal, saya pun tak tahu macam mana dia terfikir nak PM Perdana Menteri.

“Apapun terima kasih sudi reply dalam kesibukan, terima kasih banyak atas doanya. Aamiin Ya Mujib,” katanya.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi daripada para ibu yang rata-rata terhibur dengan telatah kanak-kanak berkenaan serta jawapan bersahaja Perdana Menteri.

Ramai turut berseloroh bahawa permintaan “cuti sekolah selamanya” itu mungkin mewakili impian kebanyakan orang dewasa juga, manakala ada yang memuji Anwar kerana meluangkan masa membalas mesej rakyat.





No comments: