
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Program Karnival Gelombang MADANI di Kompleks Sukan Masjid Tanah pada 7 Ogos 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
MASJID TANAH, 7 Ogos – Sejumlah RM1.29 juta diperuntukkan Kerajaan MADANI bagi melaksanakan 13 projek penyelenggaraan dan baik pulih institusi pendidikan Islam (IPI), termasuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) di bawah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), di seluruh Melaka bagi tahun ini.
Perkara tersebut diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika berucap merasmikan Karnival Gelombang MADANI di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan pimpinannya prihatin terhadap nasib IPI termasuk sekolah pondok dan maahad tahfiz di seluruh negara yang sebelum ini terbiar tanpa peruntukan, selain pada masa sama menyeimbangkan bantuan kepada sekolah Cina dan Tamil.
Beliau berkata, peruntukan yang diluluskan itu membabitkan kerja membaik pulih infrastruktur asas pusat pengajian pondok dan tahfiz, menaik taraf kawasan sekolah, menurap semula kawasan rizab untuk dijadikan kawasan parkir, serta membaik pulih dan mengecat bangunan.

Katanya, daripada jumlah itu, Madrasah Tahfidz Al-Quran Wal Qiraat, Kota Melaka menerima peruntukan terbesar sebanyak RM250,000 bagi projek pembaikan infrastruktur asas pusat pengajian pondok dan tahfiz.
“Turut menerima peruntukan ialah Sekolah Agama Rakyat (SAR) JAIM Durian Tunggal sebanyak RM140,000, SAR JAIM Tebong, Jasin (RM30,000), SAR JAIM Kampung Baru (RM50,000), SAR JAIM Serkam Darat (RM70,000) dan SAR JAIM Taman Maju, Jasin (RM100,000),” katanya ketika berucap pada program itu.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; serta Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abd Halim.
Anwar berkata, peruntukan turut diluluskan kepada SAR di Ayer Keroh iaitu SAR JAIM Tun Razak sebanyak RM65,000, SAR JAIM Batu Berendam (RM70,000) dan SAR JAIM Taman Tasik Utama (RM40,000) bagi kerja menurap semula kawasan sekolah.

Katanya, bagi sekolah menengah Arab, Sekolah Menengah Arab JAIM Al-Asyraf Alor Gajah menerima RM65,000, manakala Sekolah Menengah Arab JAIM Assayidah Khadijah, Jasin menerima RM160,000 bagi kerja menurap semula kawasan sekolah dan kerja berkaitan.
“Selain itu, Sekolah Rendah Arab JAIM Tun Razak menerima peruntukan RM50,000 untuk kerja menurap semula kawasan sekolah, diikuti Sekolah Rendah Arab Pernu (RM200,000),” katanya.

Sementara itu, Anwar menegaskan kerajaan akan terus berusaha menyantuni dan menjaga kepentingan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Jadi, untuk sekali lagi saya tekankan, bagi program dan bantuan kepada sekolah Cina dan Tamil, kita sudah tetapkan akan mengumumkannya di Kuala Lumpur dua minggu lagi.

“Negara ini kalau hendak aman, kita kena jaga semua. Orang Islam majoriti, maka kepentingan majoriti perlu diberi perhatian.
“Anak-anak sekolah pondok, maahad tahfiz, ramai yang terbiar, tidak ada bantuan, maka kita tingkatkan bantuan,” katanya.
No comments:
Post a Comment