Hadi tuduh DAP sambung kerja penjajah ‘hapus Melayu Islam’ walau dulu pernah bersama DAP
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyerang keras DAP dengan menuduh parti itu memimpin Pakatan Harapan (PH) untuk menyambung kerja penjajah yang bertujuan melemahkan kedudukan Melayu dan Islam di negara ini.
Dalam tulisan Minda Presiden Pas hari ini, Hadi turut mendakwa DAP mendominasi PH, manakala pemimpin Melayu daripada PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) menjadi pihak yang mempertahankan parti tersebut.
Namun, dalam tulisan sama beliau sendiri mengimbau sejarah Pas pernah duduk semeja dengan DAP apabila kedua-dua parti bersama Parti Keadilan Nasional dan Parti Rakyat Malaysia membentuk Barisan Alternatif bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum 1999.
Hadi berkata kerjasama itu akhirnya berakhir selepas berlaku pertentangan mengenai agenda negara Islam dan pelaksanaan syariat yang diperjuangkan Pas.
Ahli Parlimen Marang selama 32 tahun itu berkata, DAP kekal dengan pendirian Malaysia sebagai negara demokratik sekular berasaskan Perlembagaan Persekutuan.
Dalam hujah panjang berjelanya, pemimpin Perikatan Nasional (PN) itu turut mengaitkan struktur masyarakat majmuk Malaysia dengan dasar penjajah British selain mendakwa orang Melayu sengaja dilemahkan dari segi pendidikan, ekonomi dan politik.
Menyingkirkan
Beliau kemudian menuduh PH dan DAP mengambil beberapa langkah yang boleh melemahkan kedudukan Islam, bahasa Melayu serta institusi Melayu, termasuk membangkitkan isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).
“PH yang dikuasai oleh DAP telah mengambil beberapa langkah yang terbuka bagi meneruskan agenda penjajah yang bertujuan menyingkirkan Islam dan Melayu.
“Tercetusnya kenyataan dan tindakan yang secara terbuka mencabar kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, memperlekehkan kedudukan Raja-raja Melayu yang dihilangkan kedaulatannya oleh penjajah, melemahkan kedudukan bahasa Melayu yang dinobatkan menjadi Bahasa Kebangsaan, membela golongan yang murtad dalam kalangan penganut Islam dan memberi tekanan kepada mereka yang memeluk Islam, serta menentang langkah pelaksanaan syariat oleh beberapa buah kerajaan negeri.
“Malah, mereka juga meletakkan kalangan bukan Islam, khususnya daripada DAP dalam kementerian penting yang menjadi ancaman kepada Melayu dan Islam, serta merancang agenda politik seperti mengadakan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan lain-lain,” kata Hadi.
Pakaian Islam
Malah, dakwanya, PH bersama DAP menggalakkan penggunaan bahasa Inggeris dan bahasa kaum bagi menyingkirkan bahasa Melayu yang telah menjadi bahasa perantaraan masyarakat majmuk di Tanah Melayu.
“DAP juga meletakkan calon Islam di kawasan Melayu sehingga berwajah pakaian Islam, di samping calon bukan Islam oleh parti-parti lain dalam komponen Pakatan Harapan.
“Akhirnya, DAP yang mendominasi Pakatan Harapan secara terbuka itu mendedahkan perjuangan sekularismenya yang ekstrem dan konsep Malaysian Malaysia yang diperjuangkannya.
“Konsep ini mengandungi teori luar tabii yang menentang fitrah ketetapan Allah tentang kewujudan bangsa,” ujarnya.
Pada masa sama, Hadi mengemukakan formula politik baharu dengan menyeru kepada penyatuan Melayu Islam, yang menurutnya perlu dimulakan melalui kerjasama PN bersama BN.
Malah, beliau secara khusus menyebut gabungan Pas, Umno dan Parti Wawasan Negara (Wawasan), selain NGO Muafakat Nasional (MN), sebagai antara blok yang perlu digerakkan bagi membentuk penyatuan politik Melayu Islam.
Dalam masa sama, Hadi menolak dakwaan bahawa kemenangan BN dan PN bersifat perkauman, sebaliknya menegaskan bahawa sokongan masyarakat Melayu kepada parti-parti berkenaan berasaskan pegangan terhadap Islam dan kepimpinan Melayu.
Besan kepada bekas Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli itu seterusnya menegaskan pendiriannya bahawa Melayu Islam perlu terus memimpin Malaysia dalam kerangka masyarakat majmuk.
Tegas Hadi lagi, masyarakat Melayu merupakan pihak yang bertoleransi terhadap kaum lain.
“Semua orang wajib menerima hakikat bahawa Melayu adalah tuan punya tanah air ini mengikut ketetapan Allah Tuhan semesta alam.
“Allah telah menetapkan supaya umat Islam melaksanakan tugas masing-masing walau di mana pun bumi tempat berpijak,” katanya diikuti petikan dan terjemahan ayat 29 dari Surah al-Baqarah.
No comments:
Post a Comment