Dulu PAS dan Bersatu bersama dalam PN. Naratif besar besarnya Melayu. Islam. Ummah. Perpaduan. Penyatuan.
Tetapi apabila Bersatu mahu membuka haluan baharu, "penyatuan ummah” tiba-tiba masuk bab perlembagaan.
Hadi kata Bersatu automatik keluar. Azmin pula kata bukan Hadi yang boleh menentukan dan kedudukannya perlu diputuskan oleh Majlis Presiden.
Menarik. Ketika PAS dan Bersatu bersama, rakyat diberitahu bahawa mereka sedang membawa penyatuan Melayu-Islam, Demi ummah.
Tetapi apabila strategi politik tidak lagi sehaluan, penyatuan itu pula mula dipersoalkan melalui fasal, keahlian dan kedudukan dalam gabungan. Kalau benar ia perjuangan ummah, mengapa perbezaan strategi politik begitu cepat mengganggu “penyatuan ummah”?
Bersatu berhak menentukan haluannya. PAS juga berhak menentukan pendiriannya. Itu politik. Yang perlu dipersoalkan ialah apabila pakatan politik dibungkus sebagai perjuangan agama, seolah-olah gabungan parti itu sendiri merupakan ukuran penyatuan umat.
Itulah Politik Bukan Akidah
PAS dan Bersatu berbeza pendirian tidak bermaksud Islam gagal. Tidak bermaksud Melayu gagal. Dan tidak bermaksud ummah gagal.
Ia cuma membuktikan satu perkara parti politik ialah organisasi manusia. Manusia boleh berbeza, tersilap, berubah strategi dan akhirnya berpecah.
Sebab itu jangan samakan parti dengan Islam, atau pakatan pilihan raya dengan ummah. Apabila parti bergaduh, jangan sampai pengikut merasakan Islam sedang bergaduh.
Yang berbeza dan bertelagah ialah manusia serta kepentingan politik mereka. Jangan pula kegagalan strategi parti dipikul atas nama Islam.
Ironinya..
Selama ini kita sering dengar jangan pecahkan Melayu. Orang Islam mesti bersatu. Penyatuan ummah adalah kewajipan.
Tetapi apabila dua “tonggak penyatuan ummah” ini mula bergesel, hilang seketika cerita tentang ummah. Yang tinggal ialah siapa keluar, siapa berkuasa, siapa ada veto, fasal mana dan siapa perlu panggil mesyuarat.
Masa berkempen: “demi ummah”. Masa bergaduh: “rujuk fasal”. Rupanya penyatuan ummah kuat pada slogan, tetapi apabila kepentingan politik bergesel, yang dicari dahulu ialah peruntukan perlembagaan
Kesimpulan
Jangan campurkan Islam dengan parti. Melayu dengan gabungan politik. Ummah dengan pakatan pilihan raya.
Perjuangan agama dengan strategi mendapatkan kuasa.
PAS dan Bersatu boleh bekerjasama, berpisah atau membentuk pakatan baharu. Itu semua politik. Tetapi jangan setiap kali mereka bersatu, kita diberitahu “Inilah penyatuan ummah.”
Kalau benar mahu bercakap tentang Melayu dan Islam, buktikan melalui pendidikan, ekonomi, integriti, keadilan, kebajikan dan akhlak politik.
Kerana akhirnya rakyat akan bertanya kalau perjuangan itu benar-benar untuk ummah, mengapa apabila parti tidak lagi sehaluan, yang dipertahankan terlebih dahulu ialah kedudukan parti?
Mungkin sudah tiba masanya istilah “penyatuan ummah” dikembalikan kepada makna yang lebih besar daripada sekadar penyatuan parti. Sebab ummah jauh lebih besar daripada PN. Dan Islam jauh lebih besar daripada PAS.
IBNU ALI


No comments:
Post a Comment