ISLAM, KEWARGANEGARAAN DAN REALITI MALAYSIA. JANGAN JADIKAN SEJARAH ALAT MERENDAHKAN WARGANEGARA








Jika kerangka Yusuf al-Qaradawi tentang al-watan dan al-muwatanah digunakan, titik tolaknya ialah kewarganegaraan sebagai keanggotaan sah dalam sesebuah negara, bukan keturunan nenek moyang semata-mata.


Memang benar sejarah migrasi masyarakat Cina dan India ke Tanah Melayu mempunyai pelbagai latar kolonial, ekonomi dan migrasi. Sejarah itu tidak perlu dipadam atau dinafikan. Namun sejarah nenek moyang tidak boleh dijadikan lesen untuk menafikan status kewarganegaraan generasi hari ini. Inilah perkara yang perlu dibezakan.


Jika seseorang lahir sebagai warganegara Malaysia, hidup di sini, mematuhi undang-undang, membayar cukai, bekerja, membina keluarga dan menyumbang kepada negara, atas dasar apa dia perlu dipanggil “pendatang” selama-lamanya? Berapa generasi baru status “pendatang” itu tamat? Dua? Empat? Enam? Sepuluh?


Jika jawapannya tidak pernah tamat, maka istilah itu bukan lagi sekadar penerangan sejarah. Ia sudah berubah menjadi label politik untuk menafikan rasa memiliki terhadap tanah air sendiri.


Dalam kerangka muwatanah, seseorang yang telah menjadi warganegara ialah sebahagian daripada watan. Sejarah asal-usul boleh diingati, tetapi kewarganegaraan tidak sepatutnya diwarisi sebagai stigma. Nenek moyang mungkin datang dari tempat lain, tetapi anak cucunya boleh menjadi rakyat Malaysia sepenuhnya.


Itulah beza antara memahami sejarah dengan menjadikan sejarah sebagai alat untuk merendahkan warganegara.


ISLAM MEMBEZAKAN AKIDAH DAN KEWARGANEGARAAN


Dalam Islam, status akidah memang berbeza. Tetapi jangan campurkan kategori akidah dengan kategori kewarganegaraan sehingga lahir hierarki manusia.


Seorang Muslim dan bukan Muslim boleh mempunyai agama yang berbeza, tetapi mereka boleh menjadi muwatin warganegara yang berkongsi watan, hak dan tanggungjawab dalam sebuah negara.


Dalam konteks Malaysia, semua warganegara terikat dengan Perlembagaan dan undang-undang negara.

Maka masyarakat Cina dan India yang merupakan warganegara Malaysia bukan tetamu yang perlu memohon izin setiap kali pilihan raya. Mereka sudah menjadi rakyat.


BUMIPUTERA BUKAN LESEN UNTUK MERENDAHKAN RAKYAT LAIN


Mengakui kedudukan Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam dalam Perlembagaan tidak bermaksud kita perlu menjadikan masyarakat lain sebagai rakyat kelas kedua.


Melayu boleh mempertahankan identitinya tanpa menghina orang lain. Islam boleh dimartabatkan tanpa menafikan kewarganegaraan bukan Islam. Raja-Raja Melayu boleh dihormati tanpa membina politik permusuhan kaum. Mempertahankan hak Melayu tidak memerlukan kita mencipta musuh daripada rakyat Malaysia sendiri.


“PENDATANG” BUKAN HUJAH MAQASID


Dalam fiqh siyasah kontemporari, persoalan yang lebih penting bukan sekadar “siapa datang dahulu?” Tetapi apakah pendekatan itu menghasilkan keadilan, keamanan, maslahat dan perpaduan?


Allah SWT berfirman «“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, hendaklah kamu menetapkan dengan adil.”» - Surah al-Nisa’ 4:58


Perhatikan perkataan “antara manusia”. Keadilan Islam tidak berhenti di pintu masjid dan tidak hanya diberikan kepada orang yang sama parti atau sama agama.


JANGAN IMPORT STRUKTUR LAMA SECARA MEKANIKAL


Dalam fiqh klasik memang terdapat istilah seperti ahl al-zimmah yang lahir dalam struktur politik dan sejarah tertentu. Tetapi negara bangsa moden mempunyai realiti yang berbeza.


Malaysia mempunyai Perlembagaan, kewarganegaraan, pilihan raya, institusi Raja, mahkamah dan undang- undang yang mengikat rakyat.


Maka jangan mengambil kategori sejarah secara mekanikal lalu menggunakannya untuk membina masyarakat yang seolah-olah mempunyai “pemilik negara” dan “penumpang negara”. Itu bukan semestinya tuntutan Islam.


MUWATANAH, WARGA BUKAN PENUMPANG


Melayu mempunyai sejarahnya. Cina mempunyai sejarahnya. India mempunyai sejarahnya. Sabah dan Sarawak mempunyai sejarah, hak dan kedudukan perlembagaannya sendiri.


Semua sejarah itu boleh diakui tanpa menjadikan mana-mana kelompok sebagai rakyat kelas kedua. Inilah makna kewarganegaraan yang matang.


Jangan ubah “Bumiputera” menjadi “pemilik mutlak negara”. Jangan pula menganggap mempertahankan Melayu itu satu dosa. Kedua-duanya tidak perlu.


Melayu dihormati. Islam dimartabatkan. Raja dipelihara. Bahasa Melayu diperkasa. Hak warganegara dijamin. Keadilan ditegakkan. Minoriti dilindungi. Itulah keseimbangan yang lebih dekat dengan maqasid al-Syariah.


SOALAN YANG WAJIB DIJAWAB


Kalau seorang Cina atau India memeluk Islam, tiba-tiba dia dianggap saudara seagama. Tetapi kalau dia kekal bukan Islam, walaupun lahir sebagai warganegara Malaysia, dia masih dipanggil “pendatang”. Adakah kewarganegaraannya berubah hanya kerana agamanya tidak berubah?


Jika tidak, maka jangan campurkan status agama dengan status kewarganegaraan. Islam mempunyai kategori akidah. Negara mempunyai kategori kewarganegaraan. Jangan campurkan kedua-duanya sehingga lahir politik kasta.


Malaysia bukan negara tanpa identiti. Tetapi Malaysia juga bukan negara tanpa kepelbagaian. Politik Islam yang matang tidak perlu memilih antara Islam dan kemajmukan. Sebaliknya, ia perlu membuktikan bahawa Islam mampu menjadi sumber keadilan kepada semua.


Akhirnya, rakyat Malaysia daripada kaum Cina dan India tidak perlu “memohon izin” untuk menjadi rakyat Malaysia setiap kali musim politik tiba. Mereka sudah menjadi warganegara.


Yang perlu kita bina ialah rasa memiliki negara yang sama Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak, Cina, India dan seluruh rakyat Malaysia.


Kerana Islam tidak menjadi kecil apabila keadilan diberikan kepada bukan Islam. Sebaliknya, keadilan itulah antara wajah Islam yang paling kuat untuk diperlihatkan kepada dunia.


Jangan jadikan sejarah sebagai senjata untuk merendahkan warganegara. Jangan jadikan Islam sebagai alat membina kasta manusia.


IBNU ALI




No comments: