Jangan hanya seru KKM, itu wayang – Dr Rafidah tempelak MB Johor, gesa perjuang jawatan tetap

 


Pengamal perubatan, Dr Rafidah Abdullah menegur Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi supaya tidak sekadar menyeru Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) setiap kali berlaku kekurangan petugas di hospital.

Sebaliknya, beliau menggesa Onn Hafiz menggunakan kedudukan sebagai Menteri Besar untuk membawa masalah sebenar tenaga kerja kesihatan kepada Perdana Menteri, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta agensi berkaitan.

Dr Rafidah yang mempunyai pengalaman lebih 28 tahun berkhidmat di bawah KKM berkata, kekurangan petugas kesihatan bukan isu baharu dan sepatutnya sudah difahami oleh pemimpin negeri yang kini memasuki penggal kedua pentadbiran.

“Kenapa ya asal tak cukup staf saja, seru KKM?

“Bukan ke dah penggal kedua jadi MB, sepatutnya sudah lazim masalah sebenar,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial beliau hari ini.

Menurut beliau, antara langkah utama yang perlu diperjuangkan ialah pemberian jawatan tetap kepada petugas kesihatan, bukannya terus bergantung kepada sistem kontrak.

Beliau turut mencadangkan supaya skim perkhidmatan berpencen dikembalikan kepada warga kesihatan bagi menjadikan kerjaya dalam sektor awam lebih terjamin dan mampu mengekalkan tenaga kerja berpengalaman.

Lebih setimpal

Selain itu, Dr Rafidah mahu kerajaan menilai semula kadar gaji dan elaun petugas kesihatan supaya lebih setimpal dengan beban tugas serta risiko yang ditanggung.

Dalam masa sama, beliau mencabar kerajaan negeri untuk mempertimbangkan pemberian imbuhan tambahan sekiranya benar-benar mahu lebih ramai petugas kekal berkhidmat di fasiliti kesihatan Johor.

“Kerajaan negeri tak nak ‘top up’? Jadi, mereka akan mahu berkhidmat lebih lama di KKM,” katanya.

Tegasnya, doktor, jururawat dan petugas kesihatan lain tidak boleh diwujudkan serta-merta hanya apabila hospital berdepan kekurangan tenaga kerja.

“Petugas-petugas kesihatan cannot be plucked from the trees. Ini kegagalan keseluruhan kerajaan.

“Bukan kerajaan sekarang saja ya, malah ini isu lama,” ujarnya.

Sehubungan itu, Dr Rafidah berkata, pemimpin yang benar-benar mahu membantu perlu memperjuangkan perkara tersebut kepada pihak yang mempunyai kuasa membuat keputusan, bukannya sekadar mengeluarkan kenyataan yang menambahkan tekanan terhadap KKM.

“Sesiapa yang sebut KKM dan menambah stres KKM tanpa berjuang kepada yang relevan, pada saya itu hanya wayang saja.

“Enough is enough,” tegas Dr Rafidah lagi.



No comments: