Satu hantaran tular di platform Threads mencetuskan perbincangan apabila seorang pengguna menyenaraikan pelbagai dasar dan pembaharuan yang dilaksanakan oleh menteri-menteri daripada DAP dalam Kerajaan MADANI.
Menerusi hantaran itu, antara nama yang disebut ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Sumber Manusia, Steven Sim; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh; Menteri Digital, Gobind Singh Deo serta Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching.
Antara inisiatif yang disenaraikan termasuk Pas My50, KTM percuma untuk pelajar, penamatan monopoli PUSPAKOM, pembaharuan lesen memandu dan cukai jalan secara dalam talian, peluasan perlindungan PERKESO kepada pekerja ekonomi gig, caruman KWSP untuk pekerja asing, bantuan awal persekolahan, pindaan undang-undang berkaitan pembuangan sampah, pemerkasaan atlet para, penubuhan Majlis Media Malaysia serta usaha membanteras penipuan dalam talian.
Turut disenaraikan ialah pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI), semikonduktor dan ekonomi digital yang menurut penulis bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
Mengakhiri hantaran itu, pengguna berkenaan mencabar pihak yang sering mendakwa DAP tidak membawa manfaat kepada rakyat supaya menamakan satu dasar dalam senarai tersebut yang tidak dapat dinikmati oleh rakyat Malaysia.
“Saya cabar satu je. Cari satu polisi dalam senarai ni yang orang Malaysia tak boleh nikmati. Saya tunggu.”
Hantaran itu kemudian mendapat perhatian ramai pengguna media sosial dengan pelbagai reaksi, termasuk yang bersetuju bahawa beberapa pembaharuan berkenaan memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, manakala sebahagian lagi terus mempertikaikan prestasi keseluruhan kerajaan.
#unofficialinfo

No comments:
Post a Comment