TARC tak dipinggirkan, Kerajaan MADANI lanjut pengecualian cukai sementara

 


Kementerian Kewangan (MOF) menafikan dakwaan bahawa kerajaan memungkiri janji berhubung pengecualian cukai kepada Yayasan Pendidikan TARC, sebaliknya menegaskan kelulusan bagi kemudahan itu tertakluk kepada syarat undang-undang dan bukannya diberikan secara automatik.

Menurut kementerian itu, kerajaan tetap mengiktiraf peranan Yayasan Pendidikan TARC dalam menyediakan pendidikan tinggi swasta yang berkualiti dan mampu milik kepada rakyat Malaysia.

MOF berkata, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 November 2025, institusi, organisasi atau tabung kebajikan yang layak boleh diberikan pengecualian cukai sehingga tempoh maksimum 10 tahun di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bagaimanapun, katanya, setiap permohonan perlu memenuhi syarat pematuhan yang ditetapkan di bawah undang-undang percukaian.

“Kelulusan tersebut bukan secara automatik, sebaliknya tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu hari ini.

MOF menjelaskan semakan terhadap permohonan Yayasan Pendidikan TARC bagi melanjutkan pengecualian cukai selepas kelulusan terdahulu tamat pada 2025 mendapati masih terdapat beberapa syarat yang belum dipenuhi sepenuhnya.

Antara perkara yang perlu diperkukuhkan ialah aspek tadbir urus organisasi serta pengurusan dana sumbangan.

Walaupun begitu, kerajaan mengambil pendekatan berhemah dengan meluluskan lanjutan pengecualian cukai secara interim selama tiga tahun bagi memastikan kedudukan yayasan itu tidak terjejas sementara proses pematuhan dimuktamadkan.

Menurut MOF, tempoh interim itu turut memberi ruang kepada Yayasan Pendidikan TARC melakukan penambahbaikan, dengan kementerian bersedia membantu memudahcara proses berkenaan.

Kementerian itu berkata, sekiranya semua syarat dipenuhi, yayasan tersebut layak dipertimbangkan untuk menerima pengecualian cukai bagi tempoh penuh 10 tahun seperti diumumkan kerajaan sebelum ini.

Sehubungan itu, MOF menegaskan isu berkenaan tidak wajar diputarbelitkan sehingga menimbulkan persepsi bahawa kerajaan menarik balik sokongan terhadap institusi pendidikan tersebut.

“Kerajaan kekal komited menyokong sektor pendidikan, termasuk peranan Yayasan Pendidikan TARC, namun semua kelulusan pengecualian cukai hendaklah dibuat mengikut undang-undang, syarat pematuhan dan prinsip tadbir urus yang baik,” katanya.



No comments: