KERAJAAN PERPADUAN TERBARAI SELEPAS PRN JOHOR?

 



6 Julai 2026
Selepas seminggu tempoh berkempen bagi PRN Johor berlalu, apa yang ketara ialah hubungan mesra antara PH dan BN semakin menuju ke arah perpisahan.
Untuk seminggu lagi yang masih berbaki sebelum hari pengundian pada 11 Julai, pasti episod serang menyerang lebih panas lagi.
Meskipun di pusat, kedua-dua parti masih kekal bekerjasasama, tetapi nada kempen kedua-dua belah pihak seperti tiada garis merah sebagai sempadan.
Pemimpin PH dan BN menibai serta menghentam antara satu sama lain seolah-olah mereka bukan rakan dalam kerajaan perpaduan.
Di pihak PH, mereka menghentam BN sebagai parti yang rasuah dan suka curi wang negara, tidak boleh diberi kuasa serta dikaitkan dengan kedudukan Najib Razak yang kini dipenjara atas kesalahan rasuah.
Ucapan Anwar Ibrahim dalam kempen-kempennya sangat jelas bermaksudkan begitu.
"Kalau mahu jaga negara, nombor satu, ketua-ketuanya mesti betul. Kalau kaki curi, tak boleh.
“Mereka mahu mengawal semula negara. Tapi kalau kawal untuk apa? Ada dia cerita, kita mahu satu negara yang lebih bersih, tiada rasuah?
"Kalau ada pasukan yang jauh lebih baik daripada PH, saya tabik, silakan. Tapi, kalau yang saya kenal, tak boleh (perintah negara)…jahanam,” demikian antara petikan ucapan Anwar ketika berkempen.
Di pihak BN, mereka pula tidak berselindung lagi mula mengungkit-ungkit sokongan yang diberikan kepada Anwar sehingga beliau boleh menjadi Perdana.
Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki adalah antara yang paling terbuka mengungkit sokongan tersebut.
Kata mereka, dengan menang hanya 82 kerusi Parlimen, PH tidak mungkin dapat sampai ke Putrajaya jika tanpa sokongan 30 kerusi daripada BN.
Secara jelas, kedua-dua mereka mahu PH sentiasa sedar diri serta tidak memandang rendah kepada BN.
Realitinya, baik PH mahu pun BN, kedua-duanya sedang ghairah untuk menang di Johor.
Bagi BN, mereka ingin menang di Johor kerana mahu mengekalkan kuasa yang sedia ada di negeri itu, selain mahu menjadikannya sebagai lonjakan untuk memenangi PRU16 akan datang.
Menang di Johor, kemudian bahangnya dibawa ke Negeri Sembilan dan Melaka, ia dikatakan akan mencerahkan peluang BN kembali menerajui negara.
Di pihak PH, walaupun tiada apa-apa yang terjejas jika mereka kalah di Johor, tetapi kekalahan itu boleh juga merupakan petunjuk awal kejatuhan Anwar sebagai Perdana Menteri.
Maka itulah, Anwar dan PH seboleh mungkin cuba mengelak bala awal tersebut.
Namun demikian, dalam keghairahan menang di Johor, sebenarnya ada perkara yang telah mula terkorban iaitu hubungan mesra antara PH dan BN yang telah terbina sejak 2022 lalu.
Melihat makin panasnnya bahang menghentam, menyerang dan mengungkit di PRN Johor dan selepas ini bakal berpanjangan lagi ke Negeri Sembilan dan Melaka, adalah sukar untuk mengharapkan kerajaan perpaduan ini mampu bertahan hingga ke hujung penggal.
Selepas ini, pemimpin PH dan BN pasti sukar bekerjasama seperti dahulu, bahkan antara Anwar dan Zahid Hamidi pun tentunya lebih banyak syak wasangka daripada rasa percaya.
Kalau tidak selepas Johor, mungkin selepas Negeri Sembilan dan tidak sempat PRN Melaka, kerajaan perpaduan ini hampir pasti akan terbarai sudahnya. - ShahbudinHusin 06Julai2026.

No comments: