Seramai 5.261 juta rakyat Malaysia telah mendaftar menggunakan sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) setakat 3 Julai lalu
Perkembangan positif itu sekali gus membantu memperkukuh pemantauan pengedaran minyak masak paket bersubsidi satu kilogram dan mengekang ketirisan di pasaran.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, aplikasi yang dilaksanakan secara rintis sejak 1 Mei 2025 itu turut merekodkan purata 14 juta transaksi setiap bulan.
“Kita lihat pada Jun 2025 terdapat sembilan aduan, namun pada Jun 2026 hanya dua aduan direkodkan. Ini menunjukkan penurunan yang ketara dari segi jumlah aduan.
“Begitu juga dengan jualan minyak masak paket. Di Johor, sebanyak 580,000 pengguna telah memuat turun aplikasi ini. Pada Jun 2025, jualannya hanya 1,350 paket.
“Tetapi selepas aplikasi e-COSS digunakan oleh 580,000 pengguna di Johor, jualan meningkat kepada 1.96 juta paket.
“Ini menunjukkan peningkatan yang sangat ketara di Johor, bukan sahaja dari segi pengurangan aduan ketidakberadaan, tetapi juga peningkatan penggunaan secara keseluruhan,” katanya.
Dr Fuziah menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin mengenai keberkesanan pelaksanaan aplikasi Mobile eCOSS sejak Mei 2025 dalam mengekang ketirisan minyak masak paket bersubsidi satu kilogram di peringkat runcit.
Wakil rakyat DAP itu turut bertanyakan langkah kementerian menangani aduan rakyat khususnya warga emas dan golongan kurang mahir di kawasan pedalaman serta luar bandar.
Mengulas lanjut, Dr Fuziah memaklumkan bagi memastikan warga emas tidak tercicir, KPDN mengekalkan kaedah pembelian secara manual bagi pengguna tanpa telefon pintar, selain menyediakan bantuan di premis peruncit serta mempergiatkan usaha penerangan.
No comments:
Post a Comment