PUTRAJAYA: Segala isu berbangkit yang melibatkan warga FELDA mesti diselesaikan dengan segera dan penuh berhemah khususnya berkaitan perumahan generasi kedua serta pemilikan tanah peneroka, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pertemuan bersama pengurusan FELDA, beliau berkata, masalah yang telah berlarutan sekian lama tidak boleh terus dibiarkan tanpa penyelesaian konkrit.
“Saya mahukan tindakan segera yang berpaksikan kepentingan warga FELDA.
"Setiap isu mesti diteliti dengan cermat, disusuli pelan penyelesaian yang jelas agar kebajikan peneroka dan masa depan generasi mereka terus terbela,” katanya.
Anwar turut menegaskan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh institusi FELDA, memulihkan keyakinan terhadap pengurusannya serta memastikan segala usaha yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada peneroka dan keluarga.
“Kerajaan MADANI kekal komited memperkukuh institusi FELDA, memulihkan keyakinan terhadap pengurusannya serta memastikan segala usaha yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada para peneroka dan keluarga mereka,” ujar beliau.
Kenyataan Perdana Menteri ini dilihat sebagai mesej jelas bahawa FELDA tidak boleh lagi dibelenggu isu berpanjangan, sebaliknya mesti bergerak ke hadapan dengan penyelesaian menyeluruh demi kesejahteraan peneroka dan generasi seterusnya.
No comments:
Post a Comment