Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yuneswaran Ramaraj menggesa pembangunan Johor diagihkan secara lebih seimbang dengan memberi tumpuan kepada Johor Utara yang menurutnya telah sekian lama ketinggalan berbanding kawasan selatan negeri.
Ahli Parlimen Segamat itu berkata pembangunan Johor tidak seharusnya terus tertumpu di Johor Bahru semata-mata, sebaliknya perlu diperluaskan ke daerah seperti Segamat, Tangkak, Muar dan kawasan sekitarnya yang turut menyumbang kepada ekonomi negeri dan negara.
Menurut beliau, kemajuan sesebuah negeri tidak boleh diukur hanya melalui pembangunan fizikal atau angka pertumbuhan ekonomi, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam bentuk peluang pekerjaan, pelaburan, jaringan pengangkutan moden dan infrastruktur yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Rakyat di Johor Utara juga membayar cukai, menyumbang kepada ekonomi negara dan berhak menikmati pembangunan yang lebih seimbang serta saksama,” katanya dalam satu kenyataan.
Yuneswaran berkata antara cabaran utama di Johor Utara ialah penghijrahan golongan muda ke Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Singapura akibat kekurangan peluang pekerjaan berkualiti di kawasan sendiri.
Beliau turut menarik perhatian terhadap kos logistik yang tinggi yang dihadapi usahawan tempatan sehingga menjejaskan daya saing perniagaan.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik usaha Kementerian Pengangkutan yang diterajui Anthony Loke mengaktifkan semula Segamat Inland Port (SIP) sebagai hab logistik baharu.
Katanya, pelaksanaan konsep Road-to-Rail menerusi SIP mampu mengurangkan kos logistik, mempercepat penghantaran barangan serta menarik lebih banyak syarikat menjadikan Johor Utara sebagai lokasi operasi.
“Ini bukan sekadar pembukaan sebuah terminal logistik, tetapi permulaan kepada kebangkitan ekonomi Johor Utara,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pengoperasian SIP sahaja tidak mencukupi tanpa pelaksanaan pelan pembangunan yang lebih menyeluruh.
Yuneswaran menggariskan sembilan keutamaan yang perlu diberi perhatian kerajaan, termasuk penyempurnaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), peluasan perkhidmatan ETS hingga ke Johor Bahru, penaiktarafan jalan utama, pembangunan kawasan perindustrian baharu, pembinaan lebih banyak rumah mampu milik serta pelaburan lebih besar dalam sektor pertanian moden dan industri asas tani.
Beliau turut mencadangkan supaya Segamat diberi tumpuan khusus dalam pembangunan East Coast Economic Region (ECER) bagi memanfaatkan potensi strategiknya sebagai hab pertanian, logistik dan pembuatan.
Menurutnya, Johor Utara memiliki semua kelebihan untuk muncul sebagai koridor pertumbuhan baharu negara, namun memerlukan komitmen politik bagi memastikan pembangunan diagihkan secara lebih adil.
“Jika Johor Selatan menjadi pintu masuk antarabangsa, maka Johor Utara mesti menjadi pintu pertumbuhan baharu yang menghubungkan sektor pertanian, pembuatan, logistik dan perdagangan,” katanya.
Beliau menegaskan akan terus membawa suara rakyat Johor Utara ke Parlimen, kementerian berkaitan dan kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan yang lebih saksama dapat direalisasikan.
“Perjuangan ini bukan soal politik semata-mata. Ini soal keadilan pembangunan, masa depan anak-anak Johor Utara dan memastikan kemajuan Johor dapat dirasai oleh semua rakyat, bukan hanya mereka yang tinggal di selatan negeri,” katanya.
No comments:
Post a Comment