Nazri Haris
Berombak dada aku dengar ucapan YB Dr. Haim Hilman. Sebagai bekas NC UUM, pandangan beliau pastinya ada wibawa dan berat.
Beliau bukan calang-calang tokoh akademik.
Bila disebut ada lebih 56 ribu pelajar asing di universiti awam kita,
dan 32 ribu daripadanya adalah dari negara China, automatik timbul rasa bimbang.
Hati aku terdetik, biar betul?
Habis tue macam mana dengan nasib anak-anak bangsa kita?
Macam mana dengan anak-anak golongan miskin di ceruk kampung, anak-anak cemerlang tapi keluarga tak mampu nak hantar ke IPTS kerana mahal?
Takkanlah tempat mereka di IPTA dah kena sapu dengan pelajar luar?
Seriau dan marah juga bila fikirkan hak anak tempatan macam diketepikan.
Aku yakin dengan kewibawaan dan kerisauan YB Dr. Haim.
Tapi, aku taklah percaya bulat-bulat.
Jadi aku ambil masa sikit untuk kaji silang kenyataan beliau dengan data rasmi dari Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Bila diselak helaian demi helaian fakta, barulah nampak gambaran yang jauh berbeza.
Naratif yang dibawa nampak macam logik, tapi sebenarnya banyak fakta penting yang diletakkan di luar konteks.
Pertama, isu kuota anak tempatan dirampas pelajar asing.
Faktanya, sistem kemasukan untuk anak tempatan dan pelajar antarabangsa adalah dua laluan yang berbeza sama sekali.
Anak-anak kita masuk melalui sistem UPUOnline, di mana yuran mereka disubsidi dengan sangat tinggi oleh kerajaan.
Pelajar asing pula masuk melalui laluan antarabangsa (direct intake).
Mereka bayar yuran penuh antarabangsa, tiada satu sen pun subsidi.
Menteri Pendidikan Tinggi sendiri sudah tegaskan, kuota kerusi untuk anak tempatan tidak pernah dipotong atau dikurangkan semata-mata untuk beri laluan kepada pelajar asing.
Kerusi anak kita selamat dan kekal dilindungi.
Kedua, persoalan kenapa lambakan pelajar asing sampai 72% peratus keseluruhan ini tertumpu di 5 universiti utama iaitu UM, UKM, USM, UPM dan UTM.
Jawapannya mudah, iaitu Dasar Pengantarabangsaan dan Petunjuk Prestasi (KPI) ranking global.
Kelima-lima ini adalah Universiti Penyelidikan (RU).
Untuk meletakkan nama universiti Malaysia bersaing dalam senarai QS World University Rankings,
indikator penyumbang markah yang sangat besar adalah nisbah pelajar dan staf antarabangsa.
Tambahan pula, universiti perlu menjana pendapatan sendiri.
Dengan yuran berlipat ganda yang dibayar oleh pelajar asing inilah universiti dapat buat subsidi bersilang.
Duit yuran mereka digunakan untuk selenggara makmal, baiki fasiliti, dan naik taraf kemudahan yang akhirnya diguna pakai dan dinikmati oleh anak-anak tempatan kita juga.
Lagipun, kalau kita nak belajar di luar negara, mestilah lebih cenderung pilih universiti yang popular dan ada nama yang baik.
Samalah macam mereka.
Ketiga, dakwaan 1.65 juta siswazah terpaksa bawa e-hailing kerana dasar ini.
Ini adalah satu kesilapan logik (false causality) yang digunakan untuk memancing emosi.
Pelajar asing datang bawa duit, belajar di sini, menyumbang kepada ekonomi setempat seperti bayar sewa rumah dan beli makanan, kemudian mereka balik ke negara asal.
Mereka langsung tidak bersaing dengan anak kita untuk jawatan dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) atau pasaran kerja tempatan.
Data DOSM jelas mengakui wujudnya isu graduan bekerja di bawah kelayakan, tetapi ia berpunca daripada ketidaksepadanan industri (industry mismatch).
Sektor swasta kita lambat mencipta peluang kerja berkemahiran tinggi yang cukup, bukannya sebab kerusi universiti anak kita dirompak oleh pelajar asing.
Aku setuju, nombor bancian yang dipetik itu memang wujud, tetapi cara ia dijelaskan telah mencipta satu gambaran yang tidak tepat.
Dasar membenarkan pelajar antarabangsa masuk diamalkan di seluruh dunia,
ia menguntungkan negara dari sudut kewangan dan reputasi akademik, tanpa mengorbankan walau satu pun tempat anak tempatan.
Kita semua sayang dan risaukan masa depan pendidikan negara, tapi biarlah kerisauan itu berlandaskan fakta yang terang dan nyata.
Jika sekalipun kita nak perjuang nasib pendidikan anak bangsa, bawalah fakta dan info yang tepat, tanpa 'misleading'.
Andai tidak, malulah kita pada gelaran yang tertera di sijil dan di dada.
Lebih dahsyat, ramai yang tidak tabayyun tweus percaya.
Demikianlah...
No comments:
Post a Comment