Nik Hasyudeen
Hari ni saya baca kenyataan saksi di dalam satu kes yang melibatkan salah laku pengurusan harta negara. Anda carilah sendiri berita itu.
Jika anda tak tahu, anda mungkin jenis yang tak peduli. Ketidak pedulian masyarakat ini menyebabkan orang-orang yang ada deretan kes mahkamah masih digilai walaupun mereka telah berlaku curang kepada kita semua dan negara.
Apa yang saya nak sentuhan ialah peranan mahkamah di dalam masyarakat moden. Ianya adalah tempat di mana keadilan dilaksanakan oleh hakim-hakim yang bijaksana, adil dan bebas.
Kes-kes jenayah dan sivil diadili berdasarkan saksi dan bukti. Macam hari ini, ada seorang saksi yang menerangkan bagaimana projek diproses dan dianugerahkan di ketika dia dan bos dia berkuasa.
Apabila dia menyebut berkenaan surat-surat arahan yang dia terima, mahkamah akan mengesahkan ketulinan surat berkenaan dan siapa yang mengutusnya. Sekiranya ianya bukan diutus oleh orang yang dituduh, kaitan dan pengaruh tertuduh kena dibuktikan.
Ni kes yang ada hitam putih. Bayangkan kes-kes rasuah dan salah guna kuasa yang tidak berdokumen. Kebergantungan kepada saksi menjadi amat tinggi.
Saksi-saksi pula tidak akan dibiarkan membuat kenyataan tanpa dicabar. Pihak pembelaan akan menanyakan pelbagai soalan untuk menyanggah dan menjadikan keterangan saksi disangsikan kebenarannya.
Pihak yang menuduh di dalam kes jenayah seperti kes ini serta kes-kes seperti SRC dan 1MDB (saja nak ulang-ulang jenayah yang dah diputuskan) kena membuktikan kes melangkau keraguan yang munasabah.
Sebaliknya, orang-orang yang dituduh hanya perlu menimbulkan keraguan yang diterima sebagai munasabah oleh hakim.
Di dalam kes jenayah, sekurang-kurangnya ada 7 hakim yang terlibat. Satu di mahkamah tinggi, 3 di mahkamah rayuan dan 3 di mahkamah persekutuan, sekiranya rayuan sampai ke situ.
Ramai juga ahli masyarakat yang tidak arif berkenaan dengan sistem keadilan kita. Mereka ingat kes mahkamah macam perlawanan bolasepak, sokong berdasarkan siapa yang kita suka, bukannya menilai bukti dan saksi.
Ada juga usaha yang mahu keputusan dibuat berdasarkan kedudukan dan taraf di dalam masyarakat, bukannya berdasarkan satu piawaian sahaja yang terpakai kepada semua rakyat.
Jika kita tidak pedulikan apa yang jadi kepada sistem keadilan kita, kita sebenarnya tidak peka kepada kehendak agama. Ada banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi saw yang mengkehendaki kita menegakkan keadilan.
Janganlah di satu ketika kita laung nak agama tetapi apabila geng-geng kita tertangkap dan dihukum, kita nyayikan lagu lain pulak.
No comments:
Post a Comment