Kerajaan Kelantan berkata, negeri itu akan menyelesaikan masalah bekalan air yang membelenggu rakyat mereka selama berpuluh tahun, selepas Pilihan Raya Umum (PRU) nanti iaitu dalam tempoh dua tahun akan datang.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Izani Husin, meminta rakyat Kelantan untuk terus bersabar kerana beberapa projek utama sudah pun hampir siap.
Kerajaan negeri juga menyasarkan masalah bekalan air selesai sepenuhnya menjelang 2030.
“Maknanya kepada rakyat kita, sabarlah sebentar. Lama dah tak ada air, puluh-puluh tahun boleh sabar, dua tahun lagi… sabar sikit lagi,” katanya, lapor FMT
“Jangan apabila dah hampir ke garisan penamat, kita pula dah tak larat. Insya-ALLAH menjelang 2030 kita boleh meningkatkan kuantiti dan kualiti bekalan air kepada rakyat,” katanya lagi semalam.
Izani berkata Loji Rawatan Air (LRA) Chica 2 dijangka siap pada September, LRA Kelar dijangka mula beroperasi sekitar Mac 2027, manakala LRA Tok Bali pula siap pada 2028.
Izani berkata Kelantan menyasarkan kapasiti pengeluaran air mencecah 800 juta liter air sehari menjelang 2030. Negeri itu pada masa ini memerlukan sekitar 600 juta liter sehari.
Sebanyak 43 buah loji rawatan sedia ada menghasilkan sekitar 529 juta liter sehari, menyebabkan beberapa daerah mengalami kekurangan.
No comments:
Post a Comment