Presiden Singapura Tiba Di Malaysia Mulakan Lawatan Tiga Hari

 


Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL jam 9.19 malam bagi memulakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia.

SEPANG, 12 Jul – Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam tiba bagi memulakan lawatan negara ke Malaysia dari 13 hingga 15 Julai ini atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini jam 9.19 malam disambut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong selaku menteri pengiring dan kemudian menerima kawalan kehormatan diketuai Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja, Kapten Muhammad Hanafi Ja’afar.

Kementerian Luar memaklumkan lawatan itu sebagai membalas lawatan negara Sultan Ibrahim ke Singapura pada 6 dan 7 Mei 2024.

“Lawatan peringkat tinggi itu menggariskan perkongsian kukuh dan berkekalan antara kedua-dua negara, mencerminkan kerjasama yang semakin mendalam merentasi bidang utama kepentingan bersama,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ini merupakan lawatan negara pertama Tharman ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai presiden kesembilan Singapura pada 14 September 2023.

Presiden akan diiringi isteri, Jane Ittogi Shanmugaratnam, serta beberapa menteri dan pegawai kanan.

Dalam lawatan itu, Tharman akan diberi Istiadat Sambutan Rasmi sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.

Tharman dan delegasinya juga akan menghadiri Majlis Jamuan Negara. Presiden turut dijadual menerima kunjungan hormat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut kementerian itu, Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di dunia dan rakan dagang terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Jumlah perdagangan dua hala antara Malaysia dan Singapura mencecah RM402.35 bilion (US$93.97 bilion) pada 2025, mewakili peningkatan 1.5 peratus berbanding 2024.

Dari Januari hingga Mei 2026, jumlah perdagangan dua hala meningkat 14.5 peratus kepada RM189.90 bilion (US$47.87 bilion), berbanding RM165.93 bilion (US$37.65 bilion) dicatatkan dalam tempoh sama pada 2025.




No comments: