MCA bantah kerjasama BN-Pas, persoal adakah prinsip sekular kini diketepikan

 


Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung meluahkan rasa kecewa dan terkejut terhadap kemungkinan kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Pas, ketika mereka sendiri semasa berkempen di Johor, berjanji untuk tidak bekerjasama dengan parti Islam itu.

Beliau mendakwa, ia bercanggah dengan mesej yang dibawa untuk menyekat “gelombang hijau”.

“Seminggu yang lalu di Johor, saya memberitahu pengundi berkali-kali “kami tidak bekerjasama dengan Pas”. Untuk menyekat gelombang hijau, kita mesti mengundi Barisan Nasional.

“Seminggu kemudian di Negeri Sembilan, para pemimpin BN mengumumkan di atas pentas calon, ‘kami mempunyai persefahaman dengan rakan-rakan kami’.

“Pemimpin Pas pula mengesahkan kerjasama Umno dan parti itu,” katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.

Saw berkata, beliau keliru adakah kerjasama itu telah mendapat persetujuan kepimpinan MCA, selain membangkitkan sama ada prinsip yang selama ini diperjuangkan parti itu diketepikan demi kepentingan politik dan kemenangan pilihan raya.

Beliau tidak dapat menerima pendekatan sedemikian kerana berpegang kepada prinsip politik yang tegas.

“Selama ini kita mempertahankan prinsip sekular dan demokrasi. Adakah sekarang kita sudah meninggalkannya? Adakah kita sudah menerima politik berasaskan pemerintahan agama? Di mana garis merah kita? Di mana prinsip kita?

“Adakah kerana undi? Kerana jawatan? Kerana mahu menang di kawasan campuran? Adakah asalkan dapat mengalahkan DAP, perkara lain sudah tidak penting?

“Maaf, saya berpegang kepada prinsip politik yang tegas. Saya tidak boleh bersetuju dengan perkara ini,” katanya lagi.

Semalam, BN mengumumkan mengosongkan 11 kerusi DUN di Negeri Sembilan untuk memberi laluan kepada rundingan persefahaman bersama rakan politik. 

Rakan politik itu difahamkan merujuk kepada Pas.

Pas pula pada 13 Julai lalu engakui sedang mengadakan rundingan dengan BN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak sedang berjalan dan menunjukkan perkembangan yang positif.



No comments: