‘Langkah Linggi’ Aminuddin Harun ‘Berisiko’ Tetapi Berani

 

Kemampuan Datuk Seri Aminuddin Harun mempertahankan kerusi DUN Sikamat empat penggal sejak 2008 kini dibawa pula ke DUN Linggi yang mana terletak dalam kawasan parlimennya sendiri, Port Dickson.

PENDAPAT, 16 Jul – Keputusan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, untuk meninggalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat dan bertanding di DUN Linggi dilihat sebagai satu langkah politik yang berani.

Peralihan ke kawasan baharu sememangnya membawa risiko, namun ia juga boleh ditafsirkan sebagai kesediaan beliau menguji kekuatan sokongan di luar kawasan yang pernah diwakilinya, apatah lagi kedudukan beliau selaku ahli parlimen Port Dickson dan DUN Linggi berada di kawasannya sendiri.

Tidak pelik apabila keputusan keluar daripada zon selesa sering dianggap sebagai usaha memperluaskan pengaruh dan membuktikan keyakinan terhadap kekuatan parti serta jentera di peringkat akar umbi.

Hubungan erat antara Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Persekutuan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memacu pertumbuhan ekonomi lebih tinggi sejak 2022 sehingga kini.

Umpamanya apabila Lim Kit Siang berpindah dari kerusi selamat di Ipoh Timur di Perak untuk bertanding di kerusi Gelang Patah (kini Iskandar Puteri) di Johor, ternyata berjaya dipertahankan sehingga kini oleh Liew Chin Tong.

Walaupun DUN Linggi mempunyai landskap politik yang berbeza dengan DUN Sikamat dan memerlukan pendekatan kempen yang lebih menyeluruh dan dekat dengan keperluan masyarakat setempat, sudah pasti Aminuddin mempunyai strategi tersendiri yang mungkin kita semua tidak ketahui.

Bagi penyokong Pakatan Harapan (PH), pengumuman Aminuddin bertanding di kerusi ‘kubu kuat’ Umno dilihat sebagai peluang untuk memberi saingan yang lebih sengit kepada Barisan Nasional (BN).

Mereka berpandangan, pengalaman beliau mentadbir negeri, di samping rekod pelaksanaan dasar dan pembangunan, boleh menjadi antara faktor yang menarik perhatian sebahagian pengundi.

Banyak pelaksanaan dilakukan sama ada di peringkat negeri mahu pun kawasan DUN, Aminuddin pasti melihat kerusi berkenaan yang hanya dimenangi BN dengan majoriti sekitar 1,400 undi akan dapat dirampas seterusnya membentuk kerajaan negeri baharu selepas 1 Ogos nanti.

Kita wajar menghormati keputusan Aminuddin bertanding di DUN Linggi walaupun ia merupakan satu percaturan politik yang berani dan berisiko tetapi berbaloi meninggalkan DUN Sikamat yang diwakilinya sejak 2008 untuk berbakti di kawasan parlimennya sendiri.

Peluang untuk menawan Linggi lebih cerah jika PH mempertaruhkan calon berprofil tinggi atau heavyweight seperti Aminuddin dan Tok Mat tidak perlu melatah mahu ‘kejar’ Aminuddin sekiranya calon BN ‘kuat’ selama ini sebelum ‘Langkah Jalal’ merosakkan segala-galanya.





No comments: