Nazri Hamdan
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa KWAP melaburkan kira-kira AS$47.7 juta (sekitar RM200 juta) ke dalam syarikat startup akuakultur Indonesia, eFishery, pada Julai 2023.
Aaaakn tetapi syarikat itu kemudiannya didakwa memanipulasi penyata kewangan bagi menarik pelabur, sebelum pengasasnya disabitkan kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram di Indonesia.
Akibatnya, pelaburan tersebut mengalami kerugian besar dan mencetuskan persoalan mengenai bagaimana proses penilaian pelaburan itu dilakukan.
Menurut penjelasan kerajaan, keputusan pelaburan itu bukan dibuat secara semberono.
KWAP bersama konsortium pelabur lain dikatakan telah melalui proses penilaian (due diligence), termasuk menyemak penyata kewangan yang disahkan juruaudit antarabangsa serta menjalankan semakan bebas sebelum melabur.
Malah, pelaburan itu turut disertai beberapa nama besar dunia seperti Temasek, SoftBank, 42XFund dan Northstar.
Ini menunjukkan bahawa walaupun sesuatu pelaburan telah melalui proses tadbir urus yang ketat dan disertai pelabur bertaraf dunia, risiko penipuan korporat masih boleh berlaku jika maklumat yang diberikan oleh syarikat didapati tidak benar.
Susulan insiden ini, kerajaan memaklumkan bahawa tindakan undang-undang, usaha mendapatkan semula dana, semakan dalaman terhadap proses kelulusan dan pemantauan pelaburan serta pengukuhan kawalan tadbir urus telah dilaksanakan.
Kes ini juga menjadi satu peringatan penting bahawa pelaburan berisiko tinggi seperti startup teknologi memang berpotensi memberikan pulangan besar, tetapi pada masa yang sama boleh menyebabkan kerugian besar jika berlaku penipuan atau kelemahan tadbir urus.
Apa yang lebih penting sekarang ialah memastikan proses akauntabiliti berjalan dengan telus, mengenal pasti jika wujud sebarang kecuaian atau kelemahan dalam pemantauan, serta memperkukuhkan sistem supaya dana persaraan penjawat awam lebih terlindung daripada risiko yang sama pada masa hadapan.

No comments:
Post a Comment