
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menjawab soalan di Dewan Rakyat pada 16 Julai 2026.
KUALA LUMPUR, 16 Jul – Langkah persediaan menghadapi fenomena El Nino kerajaan diperkukuh bagi memastikan keterjaminan makanan negara terus terjamin, kata Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu berkata, usaha itu merangkumi pengurusan bekalan air secara lebih strategik, penggunaan sistem pemantauan pengairan pintar serta pengukuhan infrastruktur pengairan menerusi projek naik taraf sistem saliran.
Beliau berkata, padi yang mempunyai kesesuaian dengan cuaca dan keadaan persekitaran menjadi antara fokus utama dalam penyelidikan yang dibuat.

“Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah mengeluarkan beberapa varieti padi baharu yang mempunyai ciri tahan kemarau.
“Dalam Mesyuarat Sekuriti Makanan baru-baru ini, Perdana Menteri turut meminta MARDI mempertingkatkan lagi usaha penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan lebih banyak varieti padi baharu yang bersesuaian dengan keperluan semasa,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Bakri Jamauddin (PN – Tangga Batu) mengenai persediaan kerajaan menghadapi fenomena El Nino yang dijangka memberi kesan kepada sektor pertanian dan keterjaminan makanan negara, termasuk aspek bekalan air pengairan, pengeluaran padi, tanaman makanan serta penternakan.
Terdahulu, media melaporkan fenomena El Nino dijangka mempengaruhi cuaca negara dalam tempoh terdekat dan berkemungkinan berterusan hingga awal tahun depan.
Fenomena itu menyebabkan cuaca lebih panas dan kering berbanding biasa, terutama sepanjang Monsun Barat Daya yang bermula 14 Mei lalu dan dijangka berterusan hingga September ini.
Keadaan itu juga berpotensi mengurangkan jumlah hujan di beberapa kawasan, meningkatkan risiko kekurangan bekalan air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta jerebu.

No comments:
Post a Comment