Kronologi pembubaran Dun Negeri Sembilan, ini ceritanya kenapa TokMin bubar DUN awal

 



OLEH EDY NOOR REDUAN

Dinamik politik perpaduan di Negeri Sembilan telah bermula sejak Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 demi menjamin kestabilan. 

Pakatan Harapan (PH) dan (Barisan Nasional) bekerjasama masuk pilihan raya tanpa pertembungan atas semangat Kerajaan Perpaduan yang wujud di peringkat Persekutuan.

Malah dalam pilihan raya tersebut, PH telah memberikan kerusi Lenggeng untuk ditandingi oleh Umno atas dasar setia kawan, DUN yang telah dimenangi oleh PH pada PRU14.

Menang 31 kerusi dengan mesej kepada rakyat “monang bersamo”, PH dan BN kemudiannya membentuk kerajaan negeri bersama. 

Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan manakala wakil Umno Tok Jalal dilantik menjadi Exco Kanan. Perpaduan yang terjalin ini membuahkan hasil positif.

Namun malangnya kestabilan dan perpaduan yang dibina sejak 2023 telah dicemari oleh insiden penarikan sokongan 14 ADUN Umno yang diketuai Tok Jalal, kononnya berpunca dari pendekatan TokMin yang tidak mengiktiraf ‘perlucutan’ tahta Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Untuk pengetahuan umum, kedudukan Yang di-Pertuan Besar tidak boleh ditentukan semata-mata berdasarkan tafsiran adat, tetapi hendaklah dirujuk kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) yang menjadi perlembagaan negeri ini. 

Itulah asasnya TokMin terus mengiktiraf Tuanku Muhriz, yang turut diiktiraf Kerajaan Persekutuan.

Umno Negeri Sembilan guna alasan adat tarik sokongan terhadap Tok Min

Umno NS diketuai Tok Jalal didakwa menggunakan alasan berkaitan adat sebagai justifikasi menarik sokongan terhadap TokMin.

Namun cukup sangsi apabila didedahkan oleh Mahiaddin bahawa ada komplot untuk gerakan ‘tebuk atap’ bersama Perikatan Nasional (PN).

Malah hasrat merampas kerajaan Negeri Sembilan melalui jalan pintu belakang ini juga telah diakui sendiri oleh Tuan Guru Haji Hadi yang menyatakan Akuan bersumpah (SD) sudah tersedia.

Penarikan sokongan 14 ADUN Umno rupanya bukanlah di atas prinsip pertahan adat, tetapi dek kerana haloba inginkan kuasa di Negeri Sembilan yang telah ditadbir cemerlang oleh MB TokMin dan Kerajaan Perpaduan. 

Pelaburan cecah 19.1 bilion, pendapatan negeri hampiri RM800 juta dan rezeb kewangan diumumkan baru ini sebanyak RM1.3 bilion dengan hampir semua anak syarikat kini berprestasi mencapai keuntungan tinggi, mungkin inilah punca mereka terliur lalu merosakkan momentum dan kestabilan dikorbankan.

Apakah salah MB TokMin? Adakah kerana enggan menandatangani “pelucutan” Tuanku Muhriz tanpa siasatan penuh (Inquiry) sebagaimana diperuntukkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri itu suatu kesalahan?

Dalam Istiadat perasmian pembukaan sidang DUN Negeri Sembilan pada 23 April lalu, Tuanku Muhriz sendiri telah bertitah bahawa pentadbiran kerajaan negeri serta peranan Menteri Besar wajar diteruskan dan berfungsi seperti biasa.

Tetapi Titah Tuanku Muhriz disanggah apabila selang beberapa hari Tok Jalal telah memimpin penarikan sokongan terhadap TokMin dan kerajaan megeri. Bukankah ini persis suatu sikap derhaka?

Turut dipersetujui penganalisis politik Profesor Madya Dr Mazlan Ali, yang menyatakan bahawa tindakan Tok Jalal dan 14 Umno menarik sokongan itu berkemungkinan dilihat pengundi sebagai satu bentuk ‘penderhakaan’ kepada institusi diraja. 

Kronologi 27 April menyaksikan, satu sidang media berlangsung pada 11 pagi, disambut oleh PN yang pada awalnya menerima pelawaan BN membentuk kerajaan baru. 

Pada sebelah malam, BN Negeri Sembilan turut mengeluarkan kenyataan yang berbunyi, BN berjiwa besar sedia terima PN bentuk kerajaan.

Pada detik ini, BN melalui Umno Negeri Sembilan telah mencipta ketidakstabilan di Negeri Sembilan yang akhirnya menyebabkan MB TokMin terpaksa mengambil jalan membubarkan DUN.

Walaupun TokMin masih mempunyai mandat sehingga 2028 sebagai Menteri Besar, namun memilih untuk melepaskan kerusi empuk MB agar kestabilan mampu dicapai semula dengan mandat lebih sempurna.

Justeru itu, sebagai rakyat negeri Sembilan yang mendambakan sebuah kerajaan telus dan stabil, tidak khianat mandat, tidak derhaka dan kekal setia, buatlah pilihan terbaik dalam pilihanraya negeri 1 Ogos nanti.



No comments: