MANUSIA PALING JAHAT . DIA GUNA BANGSA DAN AGAMA UNTUK POLITIK.
DIA KAPIRKAN SETERUNYA...DIA MEMUSUHI SETERUNYA DENGAN FATWA. AKHIRNYA DIA PUNYA PENTAKSUB MELAUNGKAN SLOGAN ISLAM.
Ungkapan seperti "pastikan manusia munafik ditumbangkan" menggambarkan kecenderungan mencampuradukkan persaingan politik dengan penghukuman terhadap akidah individu. Sedangkan dalam Islam, politik ialah ruang ijtihad manusia, manakala penentuan siapa yang benar-benar beriman atau munafik adalah urusan Allah SWT, kerana hanya Dia mengetahui isi hati setiap hamba.
Allah SWT mengingatkan “Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada sangkaan, sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa.”
(Surah al-Hujurat: 12)
Mengkritik dasar, keputusan atau prestasi seseorang pemimpin adalah hak dalam demokrasi. Tetapi menuduh seseorang munafik hanya kerana berbeza pilihan politik boleh membawa kepada sikap melampaui batas yang tidak selari dengan akhlak Islam.
Masalahnya bukan politik, tetapi taasub yang membutakan
Islam tidak melarang seseorang menyokong parti atau memperjuangkan idea politik. Yang menjadi masalah ialah apabila parti menjadi ukuran kebenaran mutlak.
Apabila seseorang sudah terlalu taasub kesalahan kelompok sendiri dianggap kecil, kelemahan pemimpin sendiri dicari alasan, kebaikan pihak lawan ditolak walaupun benar, kritikan dianggap sebagai musuh agama.
Ini bertentangan dengan prinsip al-Quran “Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum menyebabkan kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa.” (Surah al-Ma’idah: 8)
Ayat ini sangat penting dalam politik. Allah tidak berkata berlaku adil hanya kepada orang yang kita suka, tetapi juga terhadap pihak yang kita tidak setujui.
Apakah yang menyebabkan manusia menjadi taasub politik?
1. Menganggap kelompok sendiri mewakili kebenaran mutlak. Ini berlaku apabila manusia tidak lagi membezakan antara islam sebagai agama Allah
dengan parti politik sebagai ijtihad manusia.
Parti boleh betul dan boleh salah. Pemimpin boleh berjaya dan boleh tersilap. Tetapi apabila parti dianggap suci, maka kesalahan sendiri sukar diterima.
2. Politik berasaskan identiti dan emosi
Manusia mudah digerakkan oleh rasa takut dan marah.
Apabila naratif dibina seperti “Kalau pihak kita kalah, agama akan hancur.” “Kalau pihak lawan menang, Islam terancam.” Maka orang tidak lagi menilai dengan ilmu, tetapi bertindak berdasarkan emosi.
3. Kurang budaya ilmu dan semakan maklumat
Taasub berkembang apabila seseorang hanya mendengar sumber yang menguatkan pandangannya sendiri. Akhirnya dia tidak mencari kebenaran, tetapi mencari hujah untuk mempertahankan apa yang sudah dipercayainya.
Dalam Islam, ilmu menuntut kita bersikap tabayyun “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah...”(Surah al-Hujurat: 6)
4. Menggunakan agama sebagai penguat sokongan politik
Apabila istilah agama seperti syurga, neraka, iman, munafik dan jihad digunakan secara mudah untuk kempen politik, ia boleh menyebabkan masyarakat melihat lawan politik sebagai musuh agama.
Sedangkan sejarah Islam menunjukkan para ulama sentiasa membezakan antara prinsip agama yang qat‘e,
dengan isu politik yang bersifat ijtihadi. Islam mengajar lawan hujah, bukan menghukum hati manusia.
Seorang Muslim boleh berkata “Dasar pemimpin ini saya tidak setuju,” “Prestasinya perlu dikritik" dan “Pilihan politiknya saya anggap tidak tepat.” Tetapi mengatakan “Dia munafik,” “Dia musuh Allah," dan “Dia pasti sesat" adalah dakwaan yang sangat berat kerana manusia tidak mengetahui isi hati manusia lain. Rasulullah SAW sendiri sangat berhati-hati dalam menghukum manusia berdasarkan zahir.
Kesimpulan
Kemenangan politik bukan bukti seseorang paling benar di sisi Allah. Kekalahan politik juga bukan bukti seseorang dibenci Allah.
Politik adalah medan amanah dan ujian. Jika kemenangan menjadikan seseorang sombong, menghina dan memfitnah, kemenangan itu belum tentu membawa keberkatan.
Jika kekalahan menjadikan seseorang bermuhasabah dan memperbaiki diri, mungkin itu lebih dekat dengan hikmah Allah.
Islam mengajar kita memilih dengan ilmu, mengkritik dengan adab dan berbeza dengan keadilan. Kerana musuh terbesar dalam politik bukan parti lawan semata-mata, tetapi apabila hati manusia sudah dikuasai oleh taksub sehingga hilang neraca kebenaran.
IBNU ALI

No comments:
Post a Comment