Video yang tular memaparkan Albert Tei menggelarkan penyokong Pakatan Harapan yang berkumpul semasa hari penamaan calon di Dewan Besar Kuala Klawang, Jelebu sebagai "anjing".
Albert Tei hadir dengan memakai pakaian yang tertera nama PERIKATAN NASIONAL. Walaupun beliau bukan calon, kehadirannya dengan membawa identiti Perikatan Nasional menyebabkan rakyat berhak menuntut penjelasan daripada kepimpinan gabungan tersebut.
PAS merupakan parti yang dominan dalam Perikatan Nasional dan sering menampilkan politik yang berteraskan nilai, adab dan akhlak. Justeru, rakyat berhak mengetahui pendirian PAS terhadap tindakan Albert Tei.
Adakah PAS bersetuju dengan perbuatan menggelarkan penyokong Pakatan Harapan sebagai "anjing"?
Adakah PAS akan menegur Albert Tei dan mendesaknya memohon maaf secara terbuka, atau memilih untuk terus berdiam diri?
Mereka yang hadir pada hari penamaan calon terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, termasuk orang Melayu, yang hadir secara aman untuk memberikan sokongan kepada parti pilihan masing-masing. Menggelarkan mereka sebagai "anjing" bukan sahaja menghina penyokong Pakatan Harapan, malah mencemarkan budaya politik yang sepatutnya berasaskan rasa hormat terhadap sesama rakyat Malaysia.
Perbezaan fahaman politik tidak pernah menghalalkan penghinaan terhadap maruah manusia. Berpolitiklah dengan hujah, fakta dan dasar, bukannya dengan kata-kata kesat dan penghinaan.
Albert Tei wajar memohon maaf secara terbuka. Pada masa yang sama, PAS dan kepimpinan Perikatan Nasional juga wajar menyatakan pendirian mereka. Berdiam diri juga akan dinilai oleh rakyat.
ZAINUDDIN MOHAMED
Ketua Cabang KEADILAN Kepala Batas
#BersamaZM
#PRNN9

No comments:
Post a Comment