Fjor
Lihat sahaja Johor dan Melaka yang terus memilih BN, Kelantan kekal dengan PAS, manakala Sabah dan Sarawak terus memberi mandat kepada GPS dan GRS. Walaupun masih banyak isu yang berlarutan bertahun-tahun, pengundi tetap mengekalkan kerajaan yang sama. Malah BN pernah memerintah negara selama 61 tahun walaupun berdepan pelbagai skandal rasuah. Di Kelantan pula, isu air dan jalan raya masih menjadi rungutan hingga hari ini.
Sebaliknya, Kerajaan Persekutuan di bawah PH yang belum pun mentadbir selama lima tahun telah memperkenalkan pelbagai dasar yang memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira parti politik. STR, SARA, Jualan Rahmah, kenaikan gaji penjawat awam, bantuan kepada usahawan dan pelbagai lagi inisiatif telah dinikmati oleh rakyat daripada golongan B40, M40 hingga T20.
Menariknya, ramai yang tidak menyokong kerajaan juga tetap menerima manfaat. Penjawat awam menikmati kenaikan gaji dan bonus. Mak cik aku yang menyokong PAS pun kini semakin banyak menerima projek dan bantuan untuk mengembangkan perniagaannya.
Kalau ada yang mengatakan DAP merosakkan negara, cuba berikan satu dasar DAP yang benar-benar memudaratkan rakyat atau satu kes rasuah melibatkan DAP yang telah dibuktikan di mahkamah. Kalau sekadar tuduhan tanpa bukti, ia bukan hujah yang kukuh.
Lihat juga negeri-negeri yang berkembang pesat. Ramai rakyat dari negeri lain berhijrah untuk bekerja dan menetap di sana. Di Shah Alam tempat aku tinggal, sampai orang bergurau memanggilnya "Shah Ale" kerana ramai orang Kelantan tinggal dan bekerja di sini.
Semasa menjadi PACA di Johor baru-baru ini, aku sempat berbual dengan seorang PACA BN yang pernah tinggal di Kuala Lumpur. Aku bertanya sama ada orang muda mudah membeli rumah mampu milik di Johor. Jawapannya, tidak mudah. Menurutnya, harga rumah semakin tinggi dan pilihan rumah mampu milik agak terhad. Berbeza dengan Selangor yang menawarkan pelbagai skim seperti Rumah Selangorku dan RUMAWIP bagi membantu rakyat memiliki rumah pada harga yang lebih mampu milik.
Bagi aku, PH datang dengan manifesto yang sebahagian besarnya sudah diterjemahkan kepada dasar dan pelaksanaan walaupun belum sampai lima tahun mentadbir. Memang masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki, tetapi banyak janji sudah mula dilaksanakan.
Akhirnya, pilihan tetap di tangan pengundi. Kalau negeri lain masih mahu mengekalkan kerajaan sedia ada, itu hak mereka. Namun pada pandangan aku, Kerajaan PH di peringkat Persekutuan wajar diberi peluang meneruskan pentadbiran supaya dasar yang sedang berjalan dapat menunjukkan hasil. Jika kerajaan sering bertukar sebelum sesuatu dasar sempat membuahkan hasil, rakyat juga yang akhirnya menanggung kerugian.

No comments:
Post a Comment