Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan tiga pengundi kawasan itu untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan yang menghentikan peruntukan untuk kawasan parlimen berkenaan.
Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh dalam penghakimannya berkata permohonan itu dibuat di luar masa, dan dia tidak mempunyai bidang kuasa untuk menentukan perkara berkenaan.
“Permohonan itu tidak difailkan dalam tempoh tiga bulan yang ditetapkan seperti yang dikehendaki oleh undang-undang. Perkara peruntukan adalah urusan eksekutif yang berada di luar bidang kuasa mahkamah,” katanya yang kini menjadi hakim Mahkamah Rayuan.
Wan Ahmad Farid berkata tiada peruntukan dalam perlembagaan yang mengikat agensi kerajaan untuk memperuntukkan dana sedemikian kepada mana-mana ahli Parlimen, tanpa mengira sokongan mereka kepada kerajaan.
“Oleh itu, permohonan untuk mendapatkan kebenaran ditolak…memandangkan kepentingan awam dalam sesuatu kes, saya tidak membuat sebarang perintah terhadap kos,” katanya.