‘Adakah ini akan membuatkan anak saya menjadi ateis?’ siri 1

 

‘Adakah ini akan membuatkan anak saya menjadi ateis?’


Seorang bekas pendidik merenung cabaran dalam mengimbangi pendidikan agama serta kemahiran berfikir kritis yang ada di kesemua sekolah di Malaysia

 

GENERATED IMAGE

Follow us on our Malay and English WhatsApp, TelegramInstagramTiktok and Youtube channels.

Di tengah-tengah kecamukan dan kekecohan baru-baru ini mengenai keadaan sistem pendidikan kita yang dianggap gagal, saya teringat sebuah peristiwa yang terjadi bertahun-tahun lalu, ketika saya menjadi penyelaras program pra-universiti antarabangsa di sebuah institusi pendidikan swasta.

Seorang ibu telah masuk ke pejabat saya untuk membuat pertanyaan tentang program itu. Kemudian, pada akhirnya, dia bertanya, “Adakah program ini akan mengubah anak saya menjadi ateis?”

Saya terpinga-pinga seketika sebelum tersedar dengan soalan luar biasanya itu. Tidak seperti kurikulum sekolah kebangsaan kita, program yang saya selaraskan ini mempunyai komponen yang memerlukan pelajar meneroka maklumat yang mereka baca atau dengar dan menyemaknya dengan bukti empirikal, logik dan kemungkinan wujudnya bias. Ia mengajar mereka untuk merenung bagaimana mereka mengetahui sesuatu perkara yang mereka dakwa tahu.

Pengetahuan agama (tanpa mengira agama), bagaimanapun, tidaklah bersifat empirikal, tetapi ia masih merupakan bidang ilmu, dan sekali gus perlu diterokai sedikit berbeza.

Namun, satu perkara yang perlu diingati ialah sebarang pengetahuan (empirikal atau tidak) tidaklah boleh diterima secara membuta tuli tanpa pertimbangan dan refleksi terhadap kandungan, konteks dan tujuannya.

Di mana-mana pelusuk dunia, kita selalu akan menemui guru agama yang serong atau ibu bapa yang mengarahkan anak-anak mereka untuk menjauhi idea-idea intelektual yang ‘berbahaya’, dengan mendakwa bahawa ia akan mengancam ‘kepercayaan’ dan ‘cara hidup’ mereka.

Samalah seperti yang berlaku di Malaysia. Beberapa minggu lalu, ada seorang pemimpin parti politik mencadangkan bahawa pengikut sistem ekonomi tertentu boleh menjadi ‘musuh’ Islam.

Bolehkah iman dengan semudah itu terancam dengan idea? Adakah agama sungguh tidak mampu untuk mengikuti konsep, perubahan dan kemajuan baru?

Atau sebenarnya, ia dieksploitasi secara tidak langsung oleh golongan oportunis dan ahli politik tertentu yang menggunakan unsur agama bagi menyuntik ketakutan untuk mengawal pengikutnya.

Ketakutan seperti itu nampaknya lebih memusnahkan daripada membina.

Revolusi Kebudayaan di China pada 1960-an dan 70-an menyaksikan protes besar-besaran untuk menyingkirkan saintis, ahli falsafah dan pemikir. Perpustakaan yang mengandungi dokumen kuno yang berharga telah dimusnahkan. Tujuannya adalah untuk menimbulkan ketakutan, untuk melemahkan dan mengawal.