Seorang bekas pendidik merenung cabaran dalam mengimbangi pendidikan agama serta kemahiran berfikir kritis yang ada di kesemua sekolah di Malaysia
Adakah kita mula melihat bayangan ‘ketakutan’ ini
di negara kita sendiri? Adakah ketakutan sudah mula disemai ke dalam masyarakat
melalui hukuman sebat orang ramai di Terengganu? Dan bukankah ketakutan yang
sama juga digunakan apabila pemimpin parti politik tertentu menyeru umat Islam
untuk mengundi mereka atau berisiko ‘dihumban ke neraka’?
Sebagai rakyat Malaysia, saya memahami dan menerima
bahawa Tuhan dan agama adalah prinsip asas yang membentuk identiti nasional
kita. Maka dapat difahami juga mengapa pengajian agama diajar secara serius dan
meluas di sekolah kebangsaan kita.
Hari ini, ia juga diiringi dengan kepercayaan
bahawa, lebih banyak yang diajar, anak-anak kita pastinya akan menjadi lebih
jujur, taat, rendah hati, adil, penyayang dan akhirnya, menjadi beragama secara
murni.
Dek kerana itu, ada akibat yang perlu ditanggung
dan mungkin juga seakan satu tindakan balas, setiap kali ada yang bercakap
tentang kemerosotan sistem pendidikan negara di Malaysia hari ini, perbincangan
hampir selalu akan beralih kepada proses ‘Islamisasi’ sekolah kita yang semakin
meningkat.
Jadi, adakah ini satu tuduhan yang adil? Adakah
pengajaran ilmu Islam menjadi satu hal yang ramai orang bukan Islam juga mula
takuti?
Mungkin yang lebih penting bukanlah sama ada ia
diajar sama sekali atau berapa banyak yang diajar tetapi bagaimana ia
diajar.
Pernahkah ada sesiapa yang bertanya sejauh mana
nilai-nilai Islam yang dipelajari oleh anak-anak kita di sekolah, sebenarnya
tercermin dalam masyarakat kita?
Kanak-kanak belajar tentang nilai (termasuk nilai
agama), utamanya dari persekitaran sosial mereka, bukan hanya dari buku teks
mereka serta masa yang lama diluangkan dalam kelas. Dalam pendidikan, ini
dikenali sebagai teori pembelajaran sosial.
Kanak-kanak lebih cenderung untuk mencontohi orang
yang sering mereka lihat dan rapat dengan mereka, termasuk mereka yang mereka
lihat dalam berita dan dalam media sosial. Ini termasuklah ibu bapa, guru,
‘influencer’, pemimpin dan juga ahli politik.
READ MORE: How politics is behind Malaysia's
education reform difficulties
Walaupun berjam-jam ilmu agama yang kita curahkan
kepada anak-anak kita, ada kemungkinan mereka akan mengikut rentak orang lain.
Jadi, apa yang mereka pelajari daripada guru yang
memaksa mereka untuk berdiri di bawah terik matahari selama berjam-jam sebagai
hukuman… atau dipaksa mencangkung di bawah meja?
Apakah yang mereka pelajari daripada guru-guru yang
bertindak mengasingkan seorang kanak-kanak yang dikira ‘lembab’, sedikit ‘lebih
bising’ atau lebih ‘gelap’ atau sedikit ‘berbeza’ untuk berdiri lebih lama di
bawah sinar matahari berbanding yang lain?
Apakah yang mereka pelajari apabila mereka melihat seorang pegawai polis menyogok rasuah dan tidak menerima hukuman apa pun?