SIAPA ORANG KERAJAAN MADANI YANG DIHANTAR BERJUMPA PAS?


Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin mengsahkan terdapat usaha daripada pihak tertentu yang ingin mempelawa parti itu untuk bersama dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.


Malah, katanya, perkara itu ada dibangkitkan pada Majlis Syura Ulama, namun hanya secara sepintas lalu dan tiada apa-apa keputusan dibuat mengenainya.


“Kita perlu kaji dan tengok baik buruk mengenainya dan adakah dalam kerjasama di dalam kerajaan itu ada DAP dan sebagainya. 


“Perkara itu akan diteliti sebelum sebarang keputusan dibuat.


“Ya, memang ada usaha daripada pihak tertentu yang mengajak kita bersama di dalam kerajaan perpaduan dan kita belum buat apa-apa keputusan lagi,” kata Hashim sebagaimana dipetik daripada sebuah portal berita.


Menurut musyidul am PAS itu lagi, sebagai parti tunggal yang mempunyai kerusi terbanyak di kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu, kerjasama itu tidak dinafikan boleh membantu memperkuatkan kedudukan kerajaan.


Namun, kata Hashim,  PAS memerlukan kajian dan perbincangan lebih menyeluruh lagi..


“Ada baik dan buruknya perkara tersebut dan PAS masih tidak membuat sebarang keputusan muktamad mengenainya”, katanya lagi.


Meskipun kita tahu Hadi Awang selaku Presiden Pas mempunyai pendirian yang keras terhadap Anwar dan boleh dikata menolak secara total untuk bersama kerajaan perpaduan, apa yang menarik di sini ialah rupa-rupanya masih ada usaha pihak tertentu yang terus berminat untuk mendekati Pas.


Pastinya yang menarik untuk diketahui di peringkat ini juga ialah siapakah pihak tertentu yang membuat pelawaan itu?


Melihat kepada percaturan politik yang sedang berlaku, tidak sukar menjangka bahawa paling mungkin pihak tertentu itu adalah mewakili Anwar.


Ia dipercayai selain sebagai langkah mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan perpaduan, juga bertujuan untuk memecahkan kesatuan dalam PN yang merupakan pencabar utama PH dalam PRU16 akan datang.


Di pihak UMNO, mereka tidak mungkin mahu mendekati Pas untuk membawa parti itu bersama-sama dalam kerajaan kerana ia dengan sendirinya boleh mengancam keistimewaan mereka dalam pegangan kuasa dan perebutan kasih sayang daripada Perdana Menteri.


Begitu juga dengan Amanah, tiada kewajaran untuk mereka mendekati Pas bagi mempelawanya bersama dalam kerajaan perpaduan.


DAP, GPS atau GRS dan lain-lain parti, lagilah tidak ada keperluan untuk mereka berbuat demikian.


Hanya pihak yang mewakili Anwar saja ada kemungkinan untuk mendekati dan membuat pelawaan tersebut kepada Pas.


Jika kenyataan Hashim itu bukan berita palsu, apakah ini menunjukkan di mata Anwar, Pas lebih bernilai tinggi berbanding UMNO untuk mengekalkan kelangsungan kuasanya sebagai Perdana Menteri?


Apakah Pas tidak mampu dilawan secara berdepan melalui kesepakatan kesepakatan parti-parti dalam kerajaan madani?


Jika akhirnya usaha mendekati Pas itu tidak menjadi kenyataan, apa pilihan lain buat Anwar? – ShahbudinHusin 29Ogos2024.


https://shahbudindotcom.net/2024/08/29/siapa-orang-kerajaan-madani-yang-dihantar-berjumpa-pas.html



No comments: