SAIYIDATINA KHADIJAH ISTERI RASULULLAH ADALAH DARI ALAM MELAYU?

Khairil Asyraf




Ada satu video seorang Prof yang tersebar mengatakan bahawa Saiyidatina Khadijah isteri Nabi Muhammad itu adalah berasal dari alam Melayu. Hujahnya begini :


1) Penulis Arab tak tulis detail pasal Khadijah

2) Khadijah seorang yang kaya

3) Orang kaya mesti ada emas

4) Untuk ada emas, orang itu mestilah datang dari alam Melayu

5) Kesimpulannya, Khadijah orang Melayu


Hujah beliau ini terlalu amat dangkal. Point-point beliau untuk membuat kesimpulan sebegitu hanyalah sekadar “cocoklogi” semata-mata. Berikut merupakan sanggahan saya terhadap hujah-hujah beliau :


1) Orang Arab memang begitu menjaga nasab mereka. Apatah lagi Saiyidatina Khadijah seorang wanita yang masyhur ini, pastilah lebih jelas asal usulnya dalam kalangan orang Arab. Beliau adalah seorang wanita dari golongan bangsawan Quraysh di Mekah. Nasab beliau ialah, Khadijah bint Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Kaab bin Luay bin Ghalib bin Fihr al-Quraysh. 


Saiyidatina Khadijah adalah isteri pertama Rasulullah dan menurut para ulama Sunni, beliaulah yang melahirkan 6 daripada 7 anak Rasulullah iaitu Qasim, Abdullah, Zaynab, Ruqayyah, Ummu Kulthum dan Fatimah. Daripada Saiyidatina Fatimah yang berkahwin dengan Saiyidina Ali ini pula lahir Saiyidina Hassan dan Saiyidina Hussein yang merupakan induk kepada seluruh Ahlul Bayt.


Tidak cukup dengan itu, para ulama Sirah juga mencatatkan bahawa Saiyidatina Khadijah memiliki sepupu yang merupakan Ahli Kitab yang kemudiannya beriman kepada kerasulan Nabi Muhammad iaitu Waraqah bin Nawfal bin Asad. Waraqah inilah yang mengesahkan tanda-tanda kenabian pada Nabi Muhammad setelah peristiwa datangnya Jibril di Gua Hira’.


Jelas sekali bahawa Saiyidatina Khadijah ini seorang Arab Quraysh di Mekah, bukan dari Alam Melayu. Nasab dan identiti Saiyidatina Khadijah ini masyhur bahkan ijmak para ulama Sirah, maka bagaimana mungkin Prof ini mendakwa “penulis Arab tak tulis detail pasal Khadijah”?


2) Benar, Saiyidatina Khadijah seorang yang kaya. Ini menunjukkan identiti beliau bukanlah misteri kerana kita tahu beliau seorang yang kaya. Kekayaan beliau adalah kerana beliau merupakan seorang dari keturunan bangsawan Quraysh yang bergiat dalam bidang perdagangan.


3) Ada emas atau tiada emas bukanlah isu utama. Sepertimana pada point sebelum ini, kekayaan Saiyidatina Khadijah adalah kerana aktiviti perdagangannya. Sudah masyhur dalam Sirah, bahkan tercatat dalam al-Quran iaitu dalam Surah Quraysh, bahawa orang Arab Quraysh di Mekah akan pergi ke Yaman pada musim sejuk dan ke Syam pada musim panas untuk menjalankan aktiviti perdagangan. Orang Arab Quraysh di Mekah ini menjadi “orang tengah” pada jalur perdagangan yang berpusat di Yaman dan Syam. Dari sinilah mereka mendapatkan kekayaan. 


4) Emas tidak semestinya datang dari Alam Melayu. Bahkan di wilayah Hijaz di semenanjung Arab sendiri adanya tempat yang dikenali sebagai Mahdul Zahab iaitu tempat yang kaya dengan emas. Sejak sebelum zaman Nabi Muhammad lagi orang Arab sudah ada kawasan emas sendiri. Bahkan, di wilayah Yaman, Mesir, Afrika dan lain-lain tempat sekitar semenanjung Arab juga kaya dengan emas. Kita sedia maklum tamadun Mesir yang terkenal dengan sejarah Firaun, Haman dan Qarun itu sendiri kaya dengan emas. 


Dan dengan jalur perdagangan yang wujud, maka bukanlah suatu perkara yang susah untuk orang Quraysh di Mekah untuk memiliki emas. Bahkan pada zaman Rasulullah sendiri telahpun menggunakan matawang Dinar emas. Maka bukanlah setiap perkara yang berkaitan dengan emas, mesti hanya datangnya dari Alam Melayu. Namun sekali lagi, ada emas atau tiada emas, bukanlah point yang utama, dan jika ada emas sekalipun, tidak semestinya berasal dari Alam Melayu.


5) Setelah melihat kepada rapuhnya hujah “cocoklogi” diatas, maka dapat disimpulkan bahawa kenyataan Saiyidatina Khadijah berasal dari Alam Melayu adalah suatu kekarutan sejarah yang teramat melampau. Sebelum ini Prof yang sama mendakwa Keturah adalah isteri Nabi Ibrahim yang berasal dari Alam Melayu. Namun, hujah-hujah rapuh “cocoklogi”nya telahpun saya jawab dalam akhbar sebelum ini. Jika Keturah yang samar identitinya itupun sukar nak dikaitkan dengan Alam Melayu, maka bagaimana pula nak kaitkan Saiyidatina Khadijah yang memang jelas identitinya sebagai seorang Arab Quraysh itu kononnya berasal dari Alam Melayu?


Saiyidatina Khadijah itu Ummul Mukminin. Beliau ialah isteri kepada junjungan besar kita iaitu Nabi Muhammad Rasulullah. Beliau ialah ibu kepada Saiyidatina Fatimah. Beliau ialah nenda kepada Saiyidina Hassan dan Saiyidina Hussein. Keperibadiannya begitu mulia disisi umat Islam. Maka usahlah merobek ketertinggian darjat Saiyidatina Khadijah ini dengan pembohongan sejarah semata-mata ingin menempelkan kemuliaannya kepada bangsa Melayu. 


Sesungguhnya tindakan ini tidak akan menjadikan bangsa Melayu menjadi mulia pun. Sebaliknya, ini akan merosakkan kemuliaan keluarga Rasulullah dan merosakkan sejarah Melayu itu sendiri. Apabila berkait dengan Nabi Muhammad, maka berhati-hatilah agar kita tidak termasuk dalam golongan yang berdusta atas nama Nabi. Melayu itu memiliki sejarah kehebatannya yang tersendiri tanpa perlu dinisbahkan kepada pelbagai fakta-fakta sejarah yang palsu. Menisbahkan sejarah yang palsu untuk kononnya membangkitkan semangat bangsa hakikatnya akan membuatkan bangsa ini semakin lemah dan hanyut dibuai kepalsuan.