Kertas siasatan bekas Timbalan Menteri di JPM sudah dibuka


bekas Timbalan Menteri di JPM sudah dibuka

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Baru Pulau Redang, Kuala Nerus. NSTP/Ghazali Kori
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Baru Pulau Redang, Kuala Nerus. NSTP/Ghazali Kori

KUALA NERUS: Polis sudah membuka kertas siasatan berhubung dakwaan pembabitan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim dalam sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya percaya polis akan melakukan siasatan secara profesional dalam kes berkenaan.

Justeru, beliau menyerahkan kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung kes berkenaan.

"Aduan telah dibuat, polis pun sudah buka 'IP' (kertas siasatan), jadi biar proses itu berjalan dulu.

"Sudah tentu pihak polis akan menjalankan siasatan mengikut lunas undang-undang, jadi saya tak mahu menimbulkan sebarang spekulasi (dan) saya meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada profesionalisme pada pasukan polis apabila mereka sudah buka fail mengenai perkara itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Penyerahan Dokumen Pengenalan Diri di Kampung Baru Pulau Redang di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia menyiasat dakwaan pembabitan seorang ahli politik tempatan dengan kumpulan sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar.

Setiausaha Agung MHO, Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata, dakwaan itu susulan tular satu video sindiket pemerdagangan manusia di Myanmar yang diterbitkan di Indonesia mendakwa seorang ahli politik dan suaminya terbabit aktif dalam sindiket pemerdagangan manusia.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, jenayah rentas sempadan termasuk kes pemerdagangan manusia di negara-negara ASEAN menunjukkan trend peningkatan.

Katanya, Malaysia juga tidak terkecuali daripada isu sama dan negara-negara ASEAN bersetuju mengambil langkah proaktif mengatasi isu berkenaan.



No comments: