TARIK BAKAT BAHARU PELBAGAI BIDANG SERTAI KEPIMPINAN KEADILAN




 Masa hadapan KEADILAN akan ditentukan oleh kepimpinan yang berbakat dalam menghadapi cabaran teknologi yang mengutamakan skil dan bakat seseorang di persekitaran dikuasai kecerdasan buatan.

Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli menyeru agar parti terutamanya sayap Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita KEADILAN mengumpulkan seberapa banyak anggota yang berbakat besar dalam pelbagai bidang untuk digilap dan diangkat sebagai kepimpinan parti.

“Kalau saudara saudari mengambil alih kepimpinan negara 10 tahun dari sekarang bersediakah saudara saudari? Tak ada orang bersedia sepenuhnya.

“Sebab itu saya berharap perlu diberikan perhatian yang khusus selepas ini mengenai persoalan idealisme dan persoalan talent (bakat kepimpinan)

“Bakat kepimpinan itu memerlukan kepelbagaian, memerlukan satu struktur yang sistematik.

“Manakala sebahagian dari jalan itu adalah dengan memastikan gerak kerja yang ditampilkan dari tokoh tokoh (AMK dan wanita) yang digilap (bakatnya), yang ada kesan kepada masyarakat,” kata Rafizi dalam ucapan perasmian Kongres Tahunan AMK dan Wanita KEADILAN.

Beliau berharap selepas kongres hari ini parti akan berjaya menarik lebih ramai bakat yang berbeza beza untuk mendepani kepimpinan di dalam Wanita KEADILAN dan AMK sebagaimana pada ketika parti itu bermula 25 tahun lalu.

Katanya, kepelbagaian latar belakang golongan profesional dalam KEADILAN pada waktu itu telah menjadi tarikan kepada masyarakat untuk meyakini KEADILAN sebagai parti yang mampu memerintah negeri dan negara pada dekad berikutnya.

“Supaya Parti Keadilan Rakyat ini (pada masa hadapan) mempunyai satu kumpulan kepimpinan yang melangkaui berpuluh tahun, 40 – 50 tahun akan datang, yang bersesuaian dengan cabaran dan tugas mengikut masa yang ada.

“Kalau itu kita boleh buat dalam tempoh beberapa tahun akan datang maka sumbangan saudara saudari adalah lebih besar daripada kami yang sudah sampai ke peringkat nak punch out 5 – 10 tahun lagi,” katanya.