GENCATAN SENJATA 4 HARI HARUS JADI PENAMAT PERANG


 Gencatan senjata 4 hari yang dipersetujui di antara Israel dan Hamas di Gaza, Palestin seharusnya dipanjangkan kepada penamatan sepenuhnya konflik Israel – Palestin yang masuk minggu keenam.



Bagi Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, gencatan senjata itu tidak seharusnya dilaksanakan setakat untuk bertukar tahanan perang atau tebusan, sebaliknya perlu digunakan untuk berunding bagi menamatkan pertempuran bersenjata.

Beliau juga berkata, gencatan senjata itu juga menandakan suara masyarakat antarabangsa mula berkesan dalam menekan rejim zionis mengendurkan keganasan ke atas Palestin.

“ABIM menilai gencatan senjata ini membuktikan suara masyarakat dunia mampu menjadi kuasa untuk menekan kezaliman yang dilakukan pihak Israel.

“Perjuangan warga Malaysia serta antarabangsa telah terbukti tidak sia-sia. Justeru gencatan senjata 4 hari ini perlu merangsang semangat kita untuk terus bersuara sehingga peperangan dihentikan sama sekali,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Presiden ABIM turut memuji tindakan Qatar yang sentiasa berusaha untuk merundingkan gencatan senjata bagi memberi ruang kepada usaha bantuan kemanusiaan kepada orang awam, khususnya mereka yang melarat di beberapa hospital akibat menjadi sasaran serangan rejim Zionis.

Namun Faisal menegaskan, terdapat keperluan mendesak untuk mesyarakat antarabangsa menekan kedua dua belah pihak agar segera menamatkan peperangan.

“Memandangkan jumah kematian rakyat awam hari ini telah mencecah lebih 13,000 akibat peperangan ini, ABIM menegaskan keperluan untuk peperangan ini ditamatkan segera.

“Maka, ABIM mendesak rejim Zionis untuk tunduk kepada desakan dunia yang mahu gencatan senjata (lebih panjang dan rundingan) seperti yang diluluskan dalam Perhimpunan Agung PBB (UNGA) bertarikh 26 Oktober 2023,” katanya lagi.



No comments: