KOS SARA HIDUP: ‘TIDAK BOLEH AMBIL DATA-DATA TEPI JALAN’


 

Timbalan Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Senator Mohd Hasbie Muda mengingatkan pihak pembangkang untuk tidak menggunakan kajian atau dapatan ekonomi secara semberono dalam menghasilkan propaganda mengabui rakyat.

Katanya, bagi mengukur kadar inflasi misalnya, kajian daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sewajarnya diambil sebagai rujukan rasmi bagi mencapai indikator yang tepat.

“Soal ekonomi kita tidak boleh ambil data-data yang dipungut di tepi jalan, sebaliknya kita harus melihat secara keseluruhan.

“Sebagai contoh, ketika Perdana Menteri mengambil alih keadaan inflasi kita ketika itu sangat tinggi (4%). Inflasi Makanan dan Minuman (7.3%).

“Tetapi sekarang kalau kita rujuk semula DOSM, inflasi turun (1.9%) dan Inflasi makanan dan minuman, jatuh kepada (3.3%) lebih daripada separuh.

“Jadi untuk mendapatkan data inflasi yang betul kita perlu keabsahan setiap maklumat daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) secara menyeluruh,” katanya .

Program tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden dan dikendalikan oleh moderator, Amin Idris.

Selain itu, bagi memulihkan ekonomi negara, Hasbie berkata, kerangka ekonomi MADANI dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) serta Belanjawan 2024 adalah ikhtiar kerajaan pada ketika ini untuk memperkasakan semula kehidupan rakyat.

“Selain penurunan inflasi, kadar pengangguran masih lagi rendah.

“Ia menunjukkan bahawa kejayaan kecil kerajaan dalam menanggani perkara ini dan memberi isyarat kita berada di landasan yang betul (dalam pentadbiran),” ujarnya.