PM AJAK RAKYAT BERAMAI-RAMAI HADIRI HIMPUNAN SOLIDARITI PALESTIN MALAM INI


 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk menyertai Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil malam ini , sebagai tanda solidariti negara bersama rakyat Palestin.

Perdana Menteri berkongsi mengenai perhimpunan itu menerusi catatan di Facebook beliau hari ini.

“Ayuh seluruh rakyat Malaysia turun ke Axiata Arena, Bukit Jalil esok malam sebagai tanda solidariti kita bersama rakyat Palestin!,” kata Perdana Menteri.

Menerusi poster yang dikongsi dalam hantaran itu, perhimpunan tersebut dijadualkan berlangsung mulai 7.30 malam hingga 10.30 malam.


Sementara itu, Gabungan NGO-NGO (pertubuhan bukan kerajaan) Seluruh Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan Perdana Menteri dijangka menyampaikan amanat khas pada perhimpunan itu, sebaik sahaja pulang dari luar negara.

“Program yang akan dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah itu, akan diteruskan dengan ucapan wakil-wakil NGO sebelum ditutup dengan ucapan khas perdana menteri,” menurut kenyataan itu.

Pengerusi Serantau Muslim Ustaz Hakim Mohd Nor yang juga salah seorang sekretariat program berkata tujuan pelaksanaan program ini ialah untuk menunjukkan kesatuan Malaysia terhadap rakyat Palestin, yang kini sedang dizalimi Zionis Israel.

Beliau berkata himpunan itu menyasarkan tiga objektif utama iaitu untuk menghentikan peperangan di Palestin, kedua untuk menghentikan tindakan membunuh kanak-kanak, wanita dan orang tidak berupaya di wilayah bergolak itu dan ketiga sebagai kesatuan suara umat Islam di seluruh dunia.

Hakim berkata himpunan yang bertemakan pakaian putih itu dijangka dihadiri lebih 20,000 orang.

Sementara itu Pengerusi Global Peace Mission Ahmad Fahmi Samsudin yang juga sekretariat program itu berkata himpunan berkenaan, akan diteruskan di negeri-negeri dalam sesi jelajah 1,000,000 Pembela Palestin.

Beliau berkata himpunan di negeri akan dimulakan di Stadium Hang Jebat di Melaka pada Ahad, 29 Okt.





No comments: