Oleh: Noraini Nordin
ANALISIS: Selepas mengakhiri jadual yang
padat dalam lawatan rasmi ke Riyadh, Arab Saudi bagi menghadiri Sidang Kemuncak
antara Negara-Negara Teluk (GCC) dan ASEAN, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar
Ibrahim seterusnya mengadakan pula lawatan singkat ke Turkiye dan Mesir sebelum
berlepas pulang ke tanahair.
Anwar
dijadualkan tiba di tanah air pada Selasa pagi.
Di
Arab Saudi, selain menghadiri sidang tersebut, Anwar juga mengadakan pertemuan
dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Mohammed bin Salman
bin Abdulaziz Al-Saud di Istana Yamamah, Riyadh.
Dalam
kedua-dua acara itu, isu Palestin dan isu kemanusiaan akibat perang di Gaza
merupakan agenda yang terus disuarakan oleh Anwar untuk diberi perhatian oleh
semua.
Beliau
mengajak semua pihak agar berusaha menghentikan peperangan di Palestin yang
kesannya hanya membawa kesengsaraan kepada warganya, terutama kanak-kanak,
wanita dan warga tua.
Demi
memperkukuh hubungan dua hala Malaysia - Arab Saudi pula, Anwar turut mempelawa
Mohammed Salman melawat negara ini dan ia dijangka akan berlangsung pada
Januari, tahun depan.
Di
Turkiye selepas mengakhiri lawatan ke Arab Saudi, Anwar telah mengadakan
perbincangan dengan Presiden Recep Tayyib Erdogan selama hampir dua jam.
Perbagai
isu dua hala dan kepentingan bersama diangkat sebagai topik perbincangan dalam
pertemuan tersebut dan tentunya isu Palestin tidak terkecuali.
Dalam
perbincangan itu, Anwar dan Erdogan sama-sama memberi tumpuan besar kepada
permasalahan kemanusiaan warga Palestin yang dinafikan hak mereka oleh regim
Israel.
Anwar
turut menyatakan pendirian Malaysia menyambut baik pembukaan koridor
kemanusiaan di pintu masuk Rafah-Semenanjung Gaza sejak dua hari lalu dan
bersedia bekerjasama dengan Turkiye serta negara-negara sehaluan bagi mencari
titik noktah kepada isu penindasan ke atas warga Palestin.
Dalam
waktu yang sama, Anwar bertegas bahawa Malaysia tidak berganjak daripada
pendiriannya dalam mengutuk sikap hipokrit negara-negara Barat dalam isu
Palestin ini.
Sebelum
ini, ketika membentangkan Belanjawan 2024, beliau yang juga Menteri Kewangan
mengumumkan pemberian bantuan RM10 juta sebagai dana awal kepada Tabung
Kemanusiaan Palestin.
Beberapa
hari kemudian, tabung tersebut telah berjaya mengumpul dana sebanyak RM81 juta,
menghampiri sasaran yang ingin dicapai iaitu RM100 juta.
Malam
esok, 24 Oktober, beberapa jam selepas menjejakkan kaki dalam negara, Anwar
sekali lagi akan memperdengarkan suara lantang dan tegas Malaysia berkaitan isu
Palestin dalam program Himpunan Malaysia Bersama Rakyat Palestin.
Program
itu akan diadakan di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil bermula jam 7.30 malam.
Pemimpin-pemimpin
pelbagai parti politik dan NGO dijangka terlibat dalam himpunan tersebut dan
acara kemuncak ialah ucapan oleh Perdana Menteri.
Pendek
kata, dalam isu Palestin ini, suara dan keprihatinan Anwar telah bergema di
mana-mana dan ia akan terus kedengaran sampai bila-bila sebagai pemimpin
Malaysia yang konsisten membela nasib rakyat Palestin.
_________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Pengarah Komunikasi Wanita
KEADILAN Pusat merangkap Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.
·
Berita
0
comments
1 like. Post not marked as liked