Isu kalimah Allah: Majlis Raja-Raja akan putuskan minggu ini


 Oleh: Abdullah Zaid


Isu berkaitan penggunaan kalimah Allah akan diteliti dan diputuskan oleh Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang dijangka bermula pada 25 hingga 27 Oktober ini.


Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cadangan garis panduan tersebut sudah pun dikemuka kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sharafuddin Idris Shah.


"Kita sudah mengadakan lima sesi libat urus, hasil libat urus itu sudah pun kita bentangkan kepada MKI yang dipengerusikan Tuanku Sultan Selangor.


"Saya difahamkan, agenda mengenai hasil libat urus itu sebagai satu cadangan ke arah membina Arahan Pentadbiran KDN baharu dijadualkan akan dibentangkan pada mesyuarat Majlis Raja-Raja yang akan bersidang antara 25 hingga 27 Oktober," katanya dalam Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.


Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) yang meminta penjelasan dan status terkini berkaitan isu Kalimah Allah serta langkah kerajaan bagi menyelesaikan isu tersebut.


Pada 15 Mei KDN menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan bahawa penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah, Baitullah, Kaabah dan solat dalam penerbitan agama Kristian bagi tujuan pembelajaran.


Keputusan itu dibuat berdasarkan keputusan percanggahan pentadbiran KDN dan Jemaah Menteri pada 1986.


Justeru, kerajaan sebelum ini telah mengadakan sebanyak lima kali libat urus dengan pihak berkaitan termasuk Persatuan-persatuan Peguam Muslim Syarie Malaysia dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi membuat garis panduan baharu sebelum diputuskan Majlis Raja-Raja.

No comments: