Perdana Menteri (PM) menyifatkan kerangka Kerjasama 2024-2028
antara blok ASEAN dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang dicapai melalui Sidang
Kemuncak di Riyadh pada Jumaat sebagai sangat bersejarah.
Dalam wawancara bersama Arab News, Datuk Seri Anwar Ibrahim
berkata, kerjasama strategik itu telah dibincangkan selama bertahun-tahun
sehingga Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman memutuskan untuk menjadi
tuan rumah mesyuarat kerjasama dan Malaysia dilantik menjadi penyelaras bagi
pihak ASEAN.
"Ini bersejarah dalam erti kata GCC dan ASEAN adalah dua
kumpulan serantau kecil yang sangat bertenaga dari segi ekonomi, dan kami
menjalin kerjasama ini tanpa pengaruh kuasa besar.
"Kami menyelesaikan beberapa parameter mengenai bagaimana
untuk meningkatkan lagi isu perdagangan dan mekanisme untuk memupuk perdagangan
pelaburan," katanya pada wawancara tersebut.
Menyentuh mengenai hubungan bilateral dan kerjasama antara
Malaysia dan Arab Saudi, Anwar menyifatkan hubungan dan kepercayaan antara dua
negara sebagai 'agak unik' dan berharap dapat mengukuhkan lagi kerjasama itu.
Jelasnya, walaupun beberapa syarikat besar dari Malaysia dan Arab
Saudi telah bekerjasama, dengan tumpuan kepada projek infrastruktur termasuk
tenaga hijau serta maklumat dan teknologi (IT), kedua-dua negara boleh meneroka
bidang yang lebih khusus.
"Saya berpendapat itulah secara amnya mengapa pertemuan
seperti ini penting. Sebab itu bukan sahaja Menteri Luar, bahkan Menteri
Pelaburan, Perdagangan dan Industri juga (ada) di sini kerana mereka perlu
membuat tindakan susulan mengenai bidang khusus yang boleh kita terokai,"
tegasnya.
Justeru kata Anwar, Malaysia bersedia untuk memeterai kerjasama
baharu dengan Arab Saudi dalam pelbagai bidang, termasuk teknologi hijau.
"Kerajaan di bawah kepimpinan Penjaga Dua Masjid Suci Raja
Salman bin Abdulaziz Al Saud dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, kini telah
melonjakkan pelaburan pembangunan dengan cara yang hebat.
"Justeru, Malaysia, seperti yang anda tahu, perlu mengekalkan
kerjasama dua hala ini," katanya yang juga Menteri Kewangan.
Sebagai rekod, Arab Saudi ialah rakan dagangan terbesar Malaysia
dalam kalangan negara Asia Barat, dengan jumlah perdagangan dua hala
mencatatkan AS$10.26 bilion pada 2022, meningkat 159.2 peratus daripada 2021
(AS$1=RM4.77).
Antara projek utama Arab Saudi di Malaysia ialah Kompleks
Bersepadu Pengerang di Johor oleh Saudi Aramco.