Parti Keadilan Rakyat tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak yang akan diadakan pada 4 November ini kerana mahu menjaga kestabilan politik negara.
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Sarawak, Roland
Engan, biar pun kerusi DUN Jepak sering ditandingi KEADILAN namun atas nama
Kerajaan Perpaduan pada kali ini, KEADILAN tidak meletakkan calon.
"KEADILAN Sarawak tak bertanding di PRK Jepak kerana menjaga
perpaduan dan kestabilan politik negara," katanya dalam kenyataan.
Roland Engan
Beliau berharap dengan dengan kerjasama antara pelbagai komponen
parti di Sarawak akan melipatgandakan perjuangan membela rakyat yang masih
banyak belum direalisasikan.
"KEADILAN Sarawak tidak bertanding bukan kerana mengiktiraf
hanya parti tertentu sahaja terbaik yang diyakini mentadbir Sarawak
"(Namun) ada banyak yang masih perlu dilakukan untuk
pembangunan adil di Sarawak. Demi Sarawak, KEADILAN Sarawak tetap setia pada
perjuangan rakyat Sarawak meskipun tidak meletakkan calonnya untuk DUN Jepak
kali ini," katanya lagi.
Kerusi DUN Jepak kosong setelah penyandangnya Datuk Dr Talib
Zulpilip meninggal dunia pada 13 Septeber lalu.
Dalam penamaan calon pada Sabtu lalu, Gabungan Parti Sarawak (GPS)
berdepan saingan tiga penjuru.
GPS yang mencalonkan Iskandar Turkee, 54, berdepan tentangan calon
Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang, 42 dan calon Parti
Aspirasi Rakyat (ASPIRASI), Chieng Lea Phing, 62.