Isu pelajar terkandas selesai perbincangan PM - Sheikh Al-Azhar


 Pertemuan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Sheikh Al-Azhar, Prof Dr Ahmed Al Tayyeb pada lawatan kerjanya ke Mesir membawa berita gembira.


Hasil perbincangan diadakan berjaya menyelesaikan masalah dihadapi 60 pelajar dari Pahang yang sebelum ini tidak dapat meneruskan pengajian di universiti Islam terkemuka itu.


"Jalur (saluran) yang ditetapkan Universiti Al-Azhar ialah semua itu melalui proses kedutaan. Oleh kerana tidak diikuti, 60 pelajar itu tersangkut.


"Bagaimanapun, saya sudah mengemukakan rayuan dan Sheikh Al-Azhar bersetuju supaya 60 anak Pahang itu diurus secepat mungkin dan Rektor Universiti Al-Azhar tadi sudah memberi jaminan.

"Tetapi saya juga beri jaminan kepada mereka (Sheikh Al-Azhar) bahawa hal sebegini tidak akan berlaku lagi, insya-Allah, semua negeri diharap mematuhi peraturan sedia ada kerana ini syarat ditetapkan Kerajaan Mesir dan Universiti Al-Azhar, alhamdulillah selesai," katanya dipetik di akhir lawatan kerja seharinya ke Mesir


Terdahulu, Anwar melakukan kunjungan hormat ke atas Ahmed dan ketibaan beliau di Al-Azhar disambut Timbalan Sheikh Al-Azhar, Prof Dr Muhammad Abdur-Rahman Al-Duwini.


Turut hadir, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Duta Besar Malaysia ke Mesir, Zamani Ismail.


Sementara itu, Perdana Menteri berkata, Sheikh Al-Azhar itu bersetuju membuat kunjungan rasmi ke Malaysia, pada suku pertama tahun depan.


"Kunjungan beliau itu akan kita manfaatkan dengan penganjuran sidang Islam serantau, supaya kita mendapat manfaat daripada kehadiran dan gagasan beliau," katanya sambil memaklumkan Malaysia bersama Al-Azhar, akan mengambil inisiatif untuk menganjurkan persidangan itu dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan ditugaskan untuk menyelaraskan penganjurannya.


No comments: