PRK DUN Jepak: KEADILAN akan bantu kempen GPS jika diminta

 



KEADILAN Sarawak akan membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak sekiranya diminta oleh komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) berbuat demikian.


Menurut Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN Malaysia, Senator Abun Sui Anyit, sebagai parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan, sememangnya KEADILAN perlu bekerjasama dengan parti gabungan demi kestabilan Kerajaan yang membawa kebaikan untuk rakyat.


"Kestabilan Kerajaan adalah kunci ke arah kelancaran dalam melaksanakan program program yang disediakan Kerajaan.


"Politik sentiasa dinamik dan boleh berubah.


"Kalau GPS memerlukan bantuan, Pakatan Harapan Sarawak terutamanya jentera KEADILAN Sarawak di DUN Jepak, kami tidak menolak untuk membantu," katanya.


Tambah Abun Sui, jentera akan dikerahkan membantu jika terdapat permohonan rasmi daripada calon atau pun GPS.


"Kalau ada panggilan untuk membantu calon GPS secara rasmi kepada KEADILAN Sarawak, kami sedia mempertimbankannya," kata Abun Sui lagi dalam satu kenyataan.


Kerusi DUN Jepak kosong setelah penyandangnya Datuk Dr Talib Zulpilip meninggal dunia pada 13 Septeber lalu.


Dalam penamaan calon pada Sabtu lalu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) berdepan saingan tiga penjuru.


GPS yang mencalonkan Iskandar Turkee, 54, berdepan tentangan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK) Stevenson Joseph Sumbang, 42 dan calon Parti Aspirasi Rakyat (ASPIRASI), Chieng Lea Phing, 62.



No comments: