PN BAKAL TELAN ASAP, KERJASAMA PH/BN, JIKA DIJAGA BAIK, MAMPU BERKUASA 100 TAHUN TADBIR MALAYSIA


 Sedar tak sedar, selain di peringkat pusat di mana Anwar Ibrahim daripada PH yang mengetuai kerajaan perpaduan sekarang disokong oleh BN yang dipimpin Ahmad Zahid Hamidi, kerjasama PH dengan BN juga turut wujud di dua negeri yang lain.

Negeri berkenaan ialah Perak dan Pahang yang mana wakil BN telah disepakati terus mengetuai kedua-dua kerajaan negeri itu dengan disokong oleh PH.

Di peringkat yang lebih kecil, kerjasama seumpamanya juga telah dipersetujui dalam pilihan raya di Padang Serai dan Tioman yang pengundiannya pada 6 Disember akan datang.

Bagi Padang Serai, oleh kerana penamaan calon telah berjalan, maka calon BN telah menarik diri untuk memberi sokongan kepada PH, manakala di Tioman pula, calon PH menarik diri untuk memberi sokongan kepada BN.

Di atas kertas, berikutan wujud kerjasama itu, tiada masalah untuk PN ditewaskan di kedua-dua kerusi berkenaan.

Dengan perkembangan ini, terutama jika PH menang di Padang Serai dan BN juga menang di Tioman, harapan untuk melihat kerjasama kedua-dua gabungan diperluaskan lagi adalah lebih cerah.

Dengan PH dan BN yang saling mempunyai kekuatan tersendiri dalam konteks yang berbeza, kerjasama atau penggabungan keduanya tidak dinafilan mampu mewujudkan satu kekuatan baru yang dinamik untuk masa depan negara.

Jika bank-bank sebelum ini boleh bersetuju untuk bergabung dan akhirnya apa wujud adalah gergasi bank yang lebih kukuh dan diyakini pengguna, tiada sebab hal yang sama tidak boleh berlaku dalam politik negara ini.

Apabila PH dan BN dapat digabungkan, kekurangan dan kelemahan masing-masing dapat diatasi dengan lebih baik lagi, bahkan memberi keyakinan yang tinggi kepada rakyat.

Oleh kerana apa yang rakyat harapkan ialah kestabilan, entiti politik yang lebih besar adalah jawapannya berbanding parti kecil yang bersepah-sepah tanpa jenama yang kukuh.

Terutama bagi BN yang kini hanya tinggal 4 parti di dalamnya berbanding 13 parti sebelum PRU14 dulu, pilihan yang terbaik untuk terus relevan dalam perjuangan dan kekal berada dalam kerajaan ialah hanya dengan bekerjasama dengan PH.

Bergerak sendirian atas nama BN semata-mata sudah tidak relevan lagi, terutama kerana PH mempunyai sokongan bukan Melayu dan masyarakat bandar dan separa bandar yang kukuh, sementara MCA dan MIC sudah tidak lagi diyakini.

Untuk fasa yang seterusnya, terutama oleh kerana jelas ternampak kerjasama PH dan BN di peringkat pusat dan di Perak serta Pahang sudah mula menggerunkan pihak lawan, ia sewajibnya harus diusahakan sama dalam PRN di beberapa negeri yang akan berlangsung selepas ini.

Yang penting, semua negeri yang bakal mengadakan pengundian nanti mesti dipastikan dikuasai oleh gabungan PH dan BN juga.

Siapa yang harus mengetuai negeri dan dari segi pembahagian kerusi, semuanya mesti dirundingi dengan baik.

Jika semua itu berjaya dilakukan, yang lebih penting selepas itu ialah masing-masing harus menjaga semua kerajaan yang ditubuhkan melalui kerjasama PH dengan BN itu dengan sebaik-baiknya.

Masing-masing harus lebih bertolak ansur, berlapang dada, sedia memberi dan menerima serta berjiwa besar atas nama dan semangat Malaysia yang pelbagai sifatnya.

Kalau semuanya dapat dijaga dengan baik – percayalah – gabungan PH dan BN ini mampu terus mentadbir dan menguasai kerajaan di negara ini selama 50 tahun atau sehingga 100 tahun akan datang.

PN, Bersatu dan Pas – bakal telan asap sajalah lepas ini!! – ShahbudinHusin 04/12/2022.



No comments: