Waythamoorthy sokong BN, serlah politik pentingkan diri sendiri - Dr Gunaraj George


 

Sokongan Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) P Waytha Moorthy ke atas BN menyerlahkan wajah sebenar beliau yang sering berpindah randah sokongan menjelang pilihan raya.



Bagi Pengerusi Biro Pekerja Ladang KEADILAN, Dr Gunaraj George, sokongan Waytha terhadap Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang diumumkannya baru baru ini tidak jauh berbeza dengan sokongan kepada BN menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13.



Cuma, Dr Gunaraj tidak puas hati terhadap dakwaan Pengerusi MAP itu kononnya cubaan beliau untuk menjalin kerjasama dengan PH gagal kerana tidak dilayan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.



"Persoalanya adakah Waythamoorthy telah menghantar permohonan rasmi kepada Majlis Presiden PH? Setiap permohonan atau kerjasama bersama PH akan melalui proses yang akan diputuskan oleh Majlis Presiden.



"Tuduhan yang dilemparkan oleh Waythamoorthy hanya sandiwara politik untuk memberi persepsi yang tidak baik kepada Datuk Seri Anwar sebagai Pengerusi Pakatan Harapan (PH).



"Sandiwara ini bagi mensucikan tindakan beliau untuk bersama BN yang merupakan sebuah parti penuh perasuah yang dipimpin oleh Datuk Seri Zahid yang masih berdepan pertuduhan di mahkamah," kata Gunaraj dalam satu kenyataan.



Menurut penyandang DUN Sentosa itu, Waythamoorthy sepatutnya tidak membabitkan Pengerusi PH dalam keputusan masa hadapan politik beliau.



Malah katanya, pemimpin Hindraf itu tidak begitu diperlukan dalam PH kerana sepanjang 22 buah bulan di bawah pentadbiran Tun Dr Mahthir Mohamad beliau yang diberi tanggungjawab sebagai Menteri Perpaduan tidak langsung berkesan dalam menjalankan tugas.



"Beliau dilihat gagal menjalankan tanggungjawab sebagai Menteri menjaga perpaduan rakyat Malaysia dan kepentingan masyarakat India.



"Beliau yang dilantik sebagai Menteri oleh PH telah bertindak secara bersendirian apabila tidak melakukan perbincangan dengan kepimpinan parti komponen dalam menyelami dan menyelesaikan isu masyakat India khususnya. Perkara ini menyebabkan beberapa keputusannya sebagai Menteri Perpaduan menjadi alat serangan pihak pembangkang terutamanya Umno dan Barisan Nasional.



"Selama 22 bulan sebagai Menteri Perpaduan, beliau juga tidak mempunyai kesungguhan politik untuk memperjuangkan setiap isu berbangkit daripada masyarakat India.



"Hari ini jelas terselah wajah sebenar beliau yang sanggup bersama dengan individu yang terpalit dengan kes mahkamah hanya kerana mementingkan kepentingan peribadi daripada kepentingan masyarakat India yang sebelum ini menjadi asas perjuangannya.



"Adakah masyarakat India Malaysia masih boleh menerima pemimpin sebegini?" tanyanya.



Justeru Dr Gunaraj menyeru masyarakat India agar membuka fikiran, selepas 3 kali Waythamoorthy mengubah sokongan maka kali ini pemimpin Hindraf itu harus ditolak sepenuhnya daripada mewakili mereka.



"Tiada apa yang perlu dikejutkan dengan sokongan P Waythamoorthy kepada BN ini.



"Dulu Waythamoorthy telah pun bersama dengan BN dan menyokong Datuk Seri Najib sejak tahun 2013. Tindakan beliau yang sering bertukar angin menjelang pilihan raya menonjolkan sikapnya yang tidak mempunyai prinsip yang jelas demi kelangsungan politik peribadi beliau



"Beliau hanya memperalatkan isu masyarakat India sebagai sumber sokongan," katanya lagi.

 

No comments: