PRU15: AMANAH Perak tampil 60 peratus muka baharu sebagai calon


Parti Amanah Negara (Amanah) Perak mengumumkan 15 calon muka baharu di semua 26 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen yang akan ditandingi parti itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Asmuni Awi berkata seramai 12 calon baharu diletakkan di DUN manakala tiga calon baharu ditempatkan di Parlimen Larut, Bukit Gantang dan Parit.

Menurutnya, semua muka baharu tersebut bertanding di kawasan yang sebelum ini ditandingi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bersama Pakatan Harapan (PH) pada PRU14.

Beberapa nama besar juga kekal bertanding mempertahankan kerusi masing-masing seperti Datuk Seri Mujahid Yusof di Parlimen Parit Buntar, dan Dr Mohd Hatta Ramli di Parlimen Lumut.

Bagi peringkat DUN, Datuk Asmuni Awi dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin masing-masing akan mempertahankan DUN Manjoi dan DUN Sungai Rapat.

Penyandang DUN Behrang, Aminuddin Zulkipli pula sah digugurkan sebagai calon dan digantikan Ketua Pemuda Amanah Perak, Khairol Najib Hashim yang juga merupakan calon termuda berusia 30 tahun.“Jumlah tambahan kerusi, dulu pada PRU14 kami bertanding di 12 DUN, kali ini tambah lapan kerusi.

“Di Parlimen, kita juga ambil kerusi-kerusi dari zaman ketika PH dulu. Semua kerusi itu, kita ambil balik,” katanya pada sidang media di Wisma Amanah Perak di sini pada Jumaat.

Tambah beliau, Amanah Perak mendapat tambahan lapan kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen berbanding PRU14.

Katanya lagi, parti itu juga menampilkan sembilan calon muda berusia bawah 40 tahun dalam pilihan raya kali ini.

“Kerusi-kerusi yang kami senaraikan berdasarkan pembahagian kerusi pada PRU14 yang lalu dan mengguna pakai formula kerusi-kerusi tradisi yang PAS bertanding sebelum-sebelum ini dan kami yakin dapat mencapai kemenangan nanti.

“Kami juga mengalu-alukan tokoh-tokoh besar daripada kompenan Pakatan Harapan yang sebelum ini telah mengumumkan beberapa tokoh besar yang akan bertanding di Perak amatlah dialu-alukan dan yakin impak besar akan memberikan kemenangan kepada kita,” ujarnya.