Nik Omar percaturan PH mahu tawan Pasir Salak


Nik Omar percaturan PH mahu tawan Pasir Salak

Diterbitkan:  Oct 27, 2022 



PRU15 | Anak bekas menteri besar Kelantan, Nik Omar Nik Abdul Aziz, bakal menjadi tawaran terbaik Pakatan Harapan (PH) untuk kerusi parlimen Pasir Salak pada PRU akan datang.


Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Muhaimin Sulam, mengesahkan percaturan tersebut kepada Malaysiakini hari ini.


Katanya, langkah membawa anak Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dianggap mampu memberi pilihan terbaik buat pengundi di kawasan yang dianggap kubu kuat Umno-BN.


Muhaimin yang juga anggota Jawatankuasa Amanah Pasir Salak yakin kemunculan Nik Omar di situ akan mampu menarik sokongan pengundi termasuk dalam kalangan pengundi atas pagar.


“Pengumuman rasmi mengenai pencalonan Nik Omar akan dibuat dalam tempoh terdekat,” katanya.


Nik Omar merupakan anak lelaki sulung kepada Nik Abdul Aziz dan pertama kali menyertai pilihan raya pada 2018 apabila dicalonkan untuk bersaing dengan PAS bagi kerusi DUN Chempaka.


Selepas PH menjadi kerajaan pusat, Nik Omar dilantik menjadi Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim). Bagaimanapun khidmatnya berakhir selepas Langkah Sheraton.


Dalam PRU lalu, Tajuddin Abdul Rahman mempertahankan kerusi tersebut dengan meraih 20,003 undi dan mengalahkan dua pencabar lain dengan perbezaan undi 7,712 undi 


Di bawah kawasan parlimen Pasir Salak ada dua kerusi DUN iaitu Sungai Manik dan Kampung Gajah.


Sementara itu Ketua PKR Cabang Pasir Salak, Mohamad Maharani Md Tasi, berkata parti itu turut mengalu-alukan kedatangan Nik Omar ke kawasan tersebut.


"Kami percaya pencalonan Ustaz Nik Omar menjadi momentum besar kedua di Perak selepas Anwar Ibrahim mengistiharkan dia bertanding di Tambun.


"Ini tentu sekali memberi tenaga baru kepada PH Perak," katanya.



No comments: