Azmin tandus modal, semua benda dia anggap serius, kata Amirudin
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor Amirudin Shari mengakui ada menghubungi Mohamed Azmin Ali untuk urusan pentadbiran dengan pengerusi Majlis Tindakan Negeri Selangor (MTNg) itu serta berkait Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Amirudin turut mengakui perbualannya dengan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu yang juga bekas timbalan presiden PKR itu turut mengandungi perkara yang disifatkannya sekadar untuk berbasa-basi.
“Sebahagian urusan, kadang-kadang memerlukan saya berhubung dengan dia, seperti hal-hal pentadbiran sebab dia Pengerusi MTNg. Kadang-kadang nak buat mesyuarat, masa tidak sesuai, jadi saya hubungi dalam bentuk WhatsApp dan ‘call’ kalau perlu.
“Kita berurusan secara profesional dan sebelum itu ada berbasa-basi, tetapi dianggap serius, ia menunjukkan dia sudah ketandusan modal. Kalau dia nak anggap semua benda jadi serius, tak apalah, saya tahu dia agak ‘boring’ (bosanlah) tu,” katanya menurut Berita Harian.
Amirudin berkata demikian mengulas pendedahan Azmin bahawa beliau ada dihubungi menteri besar Selangor itu yang memaklumkan disuruh bertanding di kerusi Parlimen Gombak.
Baru-baru ini, tular rakaman ceramah Azmin yang juga penyandang kerusi Parlimen Gombak, mendakwa Amirudin menghubunginya dan memaklumkan disuruh bertanding di kerusi berkenaan pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Azmin juga mendakwa Amirudin menyatakan kebimbangan mengenai masa depan politiknya di Gombak susulan keputusan PKR mencalonkannya di kerusi Parlimen berkenaan.
Dalam isu berkaitan, Amirudin yang juga pengerusi Majlis Pimpinan PKR Selangor merangkap ketua bahagian PKR Gombak, menegaskan parti itu akan menampilkan calon yang bukan saja mempunyai elemen tempatan, tetapi mampu memenangkan parti pada PRU15.
“Negeri ini sentiasa terbuka untuk sesiapa sahaja memberi khidmat bakti. Kita (Selangor) bukan seperti negeri yang mempunyai semangat kenegerian yang begitu tebal dan nilai ‘international’.
“Itulah yang menjadikan Selangor sebuah negeri maju sekarang,” katanya ketika ditanya adakah calon PKR Selangor untuk PRU15 pada 19 Nov terdiri anak tempatan.